Komitmen TNB tingkat pendidikan - Utusan Malaysia

Komitmen TNB tingkat pendidikan

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyampaikan surat tawaran biasiswa YTN kepada penerima, sambil diperhatikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPEGANG kepada keyakinan bahawa pencapaian pendidikan adalah strategi paling berkesan menghentikan ‘putaran  ganas kemiskinan’, TNB menjadikan bidang itu antara tumpuannya dalam membantu masyarakat mengubah kehidupan  masa depan.

Sejak dikenali Lembaga Letrik Negara (LLN), TNB sudah terlibat dengan agenda membangunkan modal insan negara.

Sumbangan itu semakin ketara melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) selain wujudnya Universiti Tenaga Nasional  (Uniten) sebagai menara gading melahirkan insan berkualiti.

Sejak ditubuhkan pada 1993, lebih 18,500 pelajar telah menikmati manfaat daripada YTN yang mengagihkan lebih RM1.2  bilion bantuan pendidikan sama ada dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman boleh ubah.

Ia termasuk lebih 8,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan terendah (B40) yang menerima Dermasiswa MyBrighter  Future (MyBF) mulai 2018, bagi tiga peringkat pengajian termasuk ijazah sarjana muda. TNB komited menaja seramai  1,000 pelajar dalam tempoh lima tahun.

MyBF adalah pembiayaan pendidikan paling istimewa, satusatunya anugerah seumpamanya di negara ini.

Ia khusus untuk anak-anak B40 yang layak menyambung pengajian, tanpa perlu memohon dan melalui proses temuduga, dibiayai sepenuhnya sepanjang pengajian tanpa bayaran balik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, inisiatif itu bukan sahaja dapat meringankan  beban keluarga berpendapatan terendah dalam menampung kos pengajian di peringkat universiti, malah kemudiannya  membolehkan anak mereka membangunkan kerjaya yang lebih baik dan membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

“Komitmen ini diteruskan sekali pun dalam keadaan sukar susulan pandemik Covid-19 dengan berpegang kepada  keyakinan bahawa hanya satu generasi diperlukan bagi mengubah kehidupan sebuah keluarga dan masyarakat,” katanya.

TNB melalui YTN memperuntukkan RM35 juta tahun ini bagi anugerah biasiswa dengan kos RM1 juta seorang di luar negara dan RM120,000 hingga RM140,000 seorang sepanjang tempoh pengajian di dalam negara.

Penajaan ini antara lain merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan, elaun komputer,  elaun peralatan serta lain-lain elaun yang layak.

DUA pelajar menerima insentif Kecemerlangan Pelajar UPSR 2019.

Bulan lalu, seramai 93 menerima anugerah biasiswa ini untuk pengajian kejuruteraan tenaga elektrik, kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, perakaunan/kewangan serta sains komputer dan analisis data di universiti tempatan dan luar negara.

Bagi pinjaman boleh ubah, sebanyak RM85 juta diperuntukkan kepada 211 pelajar untuk mengikuti pengajian di Uniten dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di peringkat diploma, program asas dan ijazah sarjana muda.

Selain peringkat pengajian tinggi, TNB turut mengadakan pelbagai inisiatif penajaan pendidikan serta latihan dalam misi membantu kerajaan membangunkan modal insan.

Antaranya, Program Sekolah Amanah dengan meningkatkan pembangunan kurikulum di lapan buah sekolah terpilih  untuk tempoh selama lima tahun mulai 2017 hingga 2021, yang mana sehingga tahun lalu, sejumlah RM25.6 juta telah  dibelanjakan.

Program Sekolah Angkat PINTAR TNB juga diteruskan melalui pengambilan 11 sekolah baharu di seluruh Semenanjung dengan tajaan RM945,000 bagi tempoh tiga tahun sehingga 2023, menjadikan 66 sekolah mendapat manfaat sejak  dilancarkan pada 2007.

TNB menjadi antara syarikat milik kerajaan (GLC) terawal menyahut seruan Khazanah Nasional melalui Pintar Foundation untuk mengambil sekolah angkat kalangan sekolah rendah dan bukan di kawasan bandar.

Sehingga 2019, TNB membelanjakan RM6.74 juta bagi membiayai program PINTAR untuk 55 sekolah rendah luar bandar.

Ia menyediakan kesamaan akses kepada pendidikan berkualiti dan holistik bagi murid-murid luar bandar berbanding  bandar.

Selain itu, TNB pada setiap tahun mengagihkan sumbangan kelengkapan persekolahan melalui program Ceria Ke Sekolah  (CKS), di samping bantuan cermin mata melalui program Better Brighter Vision. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.