Kempen berimpak tinggi diperhebat tahun depan, pulih sektor perdagangan - Utusan Malaysia

Kempen berimpak tinggi diperhebat tahun depan, pulih sektor perdagangan

ISMAIL Sabri Yaakob melancarkan APDN 2020 sambil disaksikan Alexander Nanta Linggi (kiri) dan Rosol Wahid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan kempen berimpak tinggi termasuk Kempen Beli Barangan (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang akan diperhebatkan tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut dibuat bagi menyokong pemulihan dan pemerkasaan semula sektor perdagangan dalam negeri ini.

“KBBM telah mencatatkan impak positif kepada ekonomi domestik. Nilai jualan barangan buatan Malaysia bagi tahun 2020 telah berjaya mencecah RM3.3 bilion berbanding RM2.87 bilion pada tahun 2019.

“PJM pula turut mencatatkan prestasi seperti yang disasarkan. Sasaran nilai jualan sebanyak RM100 bilion pada suku keempat tahun 2020 telah berjaya dicapai dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM135.9 billion, “katanya semasa berucap dalam Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggu (PDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri PDNHEP, Datuk Rosol Wahid.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan dalam masa yang sama telah memulakan proses pemulihan ekonomi melalui strategi pelaksanaan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12
(RMK-12).

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk merancakkan semula sektor perdagangan dan pengedaran.

“Kerajaan menerusi KPDNHEP juga sentiasa menggerakkan jentera pemulihan ekonomi domestik menerusi inisiatif berimpak tinggi bagi merancakkan lagi perkembangan sektor perdagangan,”jelasnya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, sebanyak 56,000 pekerja sektor peruncitan telah menerima vaksin menerusi Program
Imunisasi Sektor Peruncitan (RiVAC).

““Melalui Program RiVAC, ia secara langsung telah memberi jaminan perlindungan kepada pekerja di sektor peruncitan dan membantu merancakkan pemulihan ekonomi negara.

“Kerajaan percaya, pencapaian ini adalah hasil kerjasama baik di antara semua pihak. Persepakatan seperti inilah yang saya mahu terapkan kepada semua pihak yang berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya