Kadar cukai vape terlalu tinggi - DPMM - Utusan Malaysia

Kadar cukai vape terlalu tinggi – DPMM

INDUSTRI vape berpotensi untuk memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara dalam aspek percukaian dan mewujudkan peluang pekerjaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan melaksanakan cukai kepada produk vape bernikotin menggambarkan industri vape tempatan sudah berada di landasan yang betul menuju regulasi.

Menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin, pihak industri telah sekian lama memperjuangkan satu sistem pencukaian yang konklusif dan juga pelaksanaan undang-undang kawal selia.

“Apabila kerajaan telah mencukaikan cecair vape bernikotin, ini bermakna industri vape akan diregulasi tidak lama lagi dan kerajaan telah mengiktiraf vape sebagai satu industri yang mampu memacu negara dari segi ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Halim memberitahu, beberapa tahun yang lepas DPMM telah mengadakan perjumpaan dengan pengusaha vape tempatan dan sepakat untuk menyokong kerajaan mencukai cecair vape dan meregulasikan industri itu.

Pada sesi tersebut katanya, pihak industri mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan satu sistem atau undang-undang kawal selia dan mengenakan cukai sebanyak 50 sen bagi setiap mililiter cecair vape.

“Bagaimanapun, kadar cukai yang diumumkan baru-baru ini iaitu sebanyak RM1.20 dan ia agak tinggi serta jauh dari nilai asal yang dicadangkan industri,” katanya.

Tambah beliau, ada sebahagian pemain industri tidak mahu cukai dikenakan langsung pada cecair vape, namun majoriti daripada mereka menyokong cukai dilaksanakan.

Pada pembentangan Bajet  2022 baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan cecair vape bernikotin akan kenakan cukai eksias bermula Januari 2022 sebanyak RM1.20 per mililiter.

Dengan cukai baharu itu, bagi setiap 30 mililiter cecair vape akan dikenakan cukai sebanyak RM36 iaitu melebihi dari harga pasaran vape ketika ini.

Abdul Halim bagaimanapun menambah, tidak dinafikan cukai baharu itu akan menyebabkan harga cecair vape naik mendadak dan akan membebankan pengguna, namun, semua pihak harus melihat ia dari sudut yang membina.

“Pengguna vape mengguna vape sebagai alternatif untuk berhenti merokok kerana mereka tahu vape lebih selamat dan environmentally friendly daripada rokok.  Rokok juga mendatangkan pelbagai jenis penyakit yang membahayakan,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Halim menambah, sudah tiba masanya kerajaan melangkah setapak lagi dengan merangka undang-undang kawal selia bagi mengekalkan momentum perkembangan industri vape dan memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem termasuk pengusaha-pengusaha vape.

Mengikut kajian Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), industri vape dilaporkan kini bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan. Industri itu juga majoritinya diusahakan oleh golongan bumiputera dan telah berjaya mewujudkan lebih daripada 15,000 pekerja dalam industri berkenaan.

Pakar ekonomi meramalkan, industri vape tanah air mampu mencecah RM10 billion dalam masa beberapa tahun dari sekarang jika menerima suntikan ransangan daripada kerajaan dan kekal berdaya saing pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya