PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) telah mencatatkan peningkatan 35.2 peratus dalam jualan hartanah baharu kepada RM340.4 juta pada suku kedua (S2) tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY2022).
Menurut syarikat itu, kenaikan itu didorong oleh peningkatan permintaan untuk hartanah di Sendayan Developments.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, berikutan pemasuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya telah melihat minat membeli yang lebih tinggi akibat permintaan yang tertangguh yang membolehkan kumpulan terus mencatatkan pertumbuhan jualan yang sihat pada separuh pertama (1H) 2022.
“Kami percaya daya tahan jualan kami adalah disebabkan oleh harga yang menarik dan nilai rumah bertanah yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi rumah mampu milik dalam kalangan penduduk.
“Kami juga berada dalam kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2022 (TK2022) kerana kami percaya permintaan rumah dalam segmen itu akan kekal teguh dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Bagi suku semasa, Matrix Concepts telah mencatatkan keuntungan bersih RM51.8 juta, susut 31 peratus daripada RM75.1 juta pada suku sama tahun lalu, disebabkan margin yang lebih rendah daripada pembangunan terbaharunya iaitu Laman Sendayan 1 dan 2 yang kini berada di fasa awal pelancaran.
Di samping itu, Kumpulan merekodkan perbelanjaan jualan dan pemasaran sebanyak RM19.3 juta, 21.4 peratus lebih tinggi berbanding RM15.9 juta suku sama tahun lalu, disebabkan peningkatan aktiviti pemasaran.
Kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen sebanyak 3.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, dan akan dibayar pada 6 Januari 2022.
Dengan dividen interim pertama sebanyak 2.0 sen, jumlah pembayaran dividen berjumlah 5.0 sen untuk separuh pertama 2022, berjumlah RM41.7 juta atau 51.6 peratus daripada keuntungan selepas cukai separuh pertama 2022.
Sementara itu, Matrix Concepts melaporkan pendapatannya bagi S2 2022 merosot sebanyak 8.6 peratus tahun ke tahun kepada RM239.45 juta akibat impak PKP ke atas jadual projek.
Daripada pendapatan itu, hartanah kediaman dan komersial menyumbang sebanyak RM203.1 juta manakala hartanah perindustrian berjumlah RM30.6 juta.
Bagi enam bulan terkumpul sehingga 30 September 2021, kumpulan melaporkan keuntungan bersihnya sebanyak RM83.5 juta dengan pendapatan RM402.91 juta.
“Dengan keterlihatan pendapatan yang jelas dan aktiviti optimum di tapak projek kami, kami berharap untuk meningkatkan pendapatan pada separuh kedua TK2022, serta menyediakan dividen yang mampan dan sihat kepada para pemegang saham,” katanya. – UTUSAN










