PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 10 peratus kepada RM632.8 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2021.
Menurut syarikat tersebut, peningkatan itu disebabkan pertambahan jumlah pesakit berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 27 peratus kepada RM147.9 juta berbanding RM116.9 juta suku sama tahun lalu.
“Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan juga mencatatkan peningkatan ketara sehingga RM43.4 juta daripada RM14.2 juta suku sebelumnya.
“Prestasi EBITDA dan PBT yang lebih kukuh itu didorong oleh prestasi hasil yang lebih tinggi dan rebat sewa yang dinikmati di bawah insentif daripada Al-Aqar Healthcare REIT,” katanya dalam kenyataan.
Kadar penghuni katil (BOR) kumpulan ialah 43 peratus, meningkat dua mata peratusan daripada suku sebelumnya manakala jumlah pesakit meningkat 3.0 peratus daripada 758,629 pesakit pada S2 2021 kepada 782,732 pada S3 2021.
Presiden dan Ketua Pengarah KPJ Healthcare Berhad, Ahmad Shahizam Mohd. Shariff berkata, pandemik Covid-19 terus memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia pada S3 2021 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara merosot 4.5 peratus memandangkan sekatan perjalanan dilaksanakan di seluruh negara menyebabkan kelembapan dalam aktiviti ekonomi di semua sektor.
“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar, KPJ Healthcare melaporkan prestasi kewangan dan operasi yang lebih baik suku ke suku disebabkan jumlah pesakit dan aktiviti hospital yang lebih tinggi.
“Sepanjang 2021, KPJ Healthcare sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar yang menyokong Program Imunisasi Kebangsaan, telah berusaha untuk menyokong proses vaksinasi di Malaysia dengan mengendalikan 25 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
“Dengan 95.8 peratus daripada populasi dewasa sudah divaksin, kami optimistik bahawa kelonggaran selanjutnya di bawah PPN dan pembukaan sempadan antarabangsa akan memberi kesan positif terhadap operasi kami,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Kumpulan kekal berhati-hati dengan prospek jangka pendeknya di sebalik keadaan makroekonomi yang buruk dan diburukkan lagi oleh pemulihan global yang perlahan akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN










