Harga emas stabil, dolar mengukuh - Utusan Malaysia

Harga emas stabil, dolar mengukuh

Kebimbangan kenaikan inflasi khususnya di Amerika Syarikat mendorong kenaikan harga emas yang dianggap lindung nilai. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Harga emas stabil pada sesi dagangan semalam, selepas mencecah paras ter­tinggi dalam tempoh lima bulan sebelumnya disebabkan kebimbangan terhadap risiko inflasi yang semakin meluas.

Kebimbangan itu me­nge­kalkan daya tarikan emas sebagai lindung nilai, di samping pengukuhan hasil dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Emas jongkong tidak berubah pada AS$1,862.81 (RM7,750.22) seauns manakala niaga hadapan emas AS juga tidak berubah pada AS$1,866.80 (RM7,767.75).

Presiden Rizab Persekutuan Richmond (Fed), Thomas Barkin berkata, Fed AS tidak akan teragak-agak menaikkan kadar faedah jika dapatan pihaknya menunjukkan inflasi tinggi memberi ‘ancaman’ berterusan.

Bagaimanapun, bank pusat itu harus menunggu untuk mengukur sama ada inflasi dan kekurangan buruh terbukti berlaku dalam tempoh lebih lama.

Kenaikan kadar faedah cen­derung memberi tekanan kepada emas. Ini kerana, kadar faedah yang lebih tinggi meningkatkan kos logam berkenaan

Gabenor Bank England, Andrew Bailey berkata, beliau khuatir dengan prospek kenaikan inflasi dan undian untuk mengekalkan kadar faedah awal bulan ini, yang memberi kejutan kepada pasaran kewangan.

Memperketatkan dasar monetari sekarang untuk mengekang inflasi boleh menyekat pemulihan zon Eropah, kata Presiden Bank Pusat Eropah, Christine Lagarde kelmarin. Beliau sehubungan itu menolak gesaan untuk dasar pasaran yang lebih ketat.

Indeks dolar AS kekal menghampiri paras tertinggi dalam tempoh 16 bulan dan pe­nanda aras hasil Perbendaharaan AS untuk 10 tahun menghampiri kemuncak dalam tempoh tiga ming­gu.

Nilai dolar AS yang lebih kukuh menjadikan emas le­bih mahal bagi pembeli yang memegang mata wang lain, manakala hasil yang lebih tinggi meningkatkan kos peluang kenaikan logam itu.

Spekulator menaikkan kedudukan niaga hadapan dan pilihan emas kepada 146,319 pada minggu berakhir 9 November, kata Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi AS kelmarin.

Sementara itu, perak kekal pa­da AS$25.04 (RM104.19) seauns, sementara platinum jatuh 0.1 peratus kepada AS$1,085.54 (RM4,516.93) ma­na­kala paladium turun 0.6 peratus kepada AS$2,142.19 (RM8,913.65). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN