Haily Construction terima surat anugerah projek kediaman RM23.7 juta - Utusan Malaysia

Haily Construction terima surat anugerah projek kediaman RM23.7 juta

PEROLEHAN projek terbaharu itu satu lagi bukti keupayaan Haily Construction dalam melaksanakan projek pembinaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Haily Construction Sdn. Bhd. (Haily Construction), anak syarikat Haily Group Berhad (Haily) menerima Surat Anugerah (LA) daripada Factor Synergy Sdn. Bhd. (Factor Synergy) untuk projek kediaman di Kluang, Johor, bernilai RM23.7 juta.

Factor Synergy adalah anak syarikat milik penuh TA Global Berhad (TA Global).

Haily dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, anugerah itu melibatkan pelaksanaan dan penyiapan 66 unit rumah teres dua tingkat berukuran 22 kaki x 75 kaki, sebuah rumah pengawal kesihatan, sebuah kebuk-berkembar stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebuah pintu masuk kepada projek itu, papan kenyataan untuk fasa pertama projek dan kerja-kerja infrastruktur lain yang memberi perkhidmatan kepada fasa 2.

Jelasnya, projek itu terletak di sebahagian daripada Lot 653 di mukim Kluang, telah bermula 1 November lalu dan dijangka siap pada 30 Aprul 2023.

“Tempoh penyiapan aadalah 18 bulan dari tarikh permulaan,” katanya.

Mengulas perkara itu, Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, perolehan projek terbaharu itu satu lagi bukti keupayaan Haily Construction dalam melaksanakan projek pembinaan sebagai kontraktor Gred G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Katanya, pencapaian itu mendatangkan petanda baik terhadap prospek Kumpulan Haily.

“Anugerah terbaharu ini akan meningkatkan nilai projek kami yang kini berjumlah RM528.65 juta, melibatkan 21 projek pembinaan bangunan dan dua projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam yang sedang berjalan.

“Kontrak terbaharu ini adalah selama 18 bulan dan akan menyumbang dengan ketara kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Haily bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023,” katanya.

Tin Hai berkata, Kumpulan telah menyiapkan sejumlah 66 projek pembinaan bangunan dengan nilai kontrak keseluruhan RM1.32 bilion sejak 2008.

“Keutamaan Kumpulan Haily adalah untuk menyampaikan produk pembinaan berkualiti tinggi dan perkhidmatan kepada pelanggannya tepat pada masanya,” tambah beliau.

Beliau percaya, pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk memperbaharui sektor hartanah tempatan akan terus mewujudkan lebih banyak aktiviti untuk industri pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN