PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan lonjakan ketara keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.02 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9B TK2021), berbanding RM27 juta tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan Kumpulan meningkat 33 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM13.39 bilion, manakala keuntungan operasi juga meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM1.16 bilion tahun ke tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, peningkatan prestasi operasi Kumpulan bagi 9B TK2021 didorong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.
“(Ia turut didorong oleh) margin keuntungan kasar yang lebih tinggi untuk Sektor Gula, serta jumlah pemprosesan dan caj pengendalian yang lebih tinggi untuk Sektor Logistik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut FGV, secara keseluruhan, bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2021 (S3 TK2021), FGV mencatatkan keuntungan operasi suku tahunan tertinggi sejak penyenaraian syarikat, sebanyak RM636 juta berbanding RM322 juta suku yang sama sebelumnya.
Katanya, sektor perladangan, perniagaan utama Kumpulan, merekodkan prestasi positif pada S3 TK2021 dengan keuntungan operasi sebanyak RM585 juta, dan pendapatan sebanyak RM4.68 bilion, masing-masing meningkat sebanyak 56 peratus dan 41 peratus didorong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan jumlah baja yang lebih baik.
“Keuntungan operasi bagi segmen huluan FGV di bawah Sektor Perladangan meningkat kepada RM548 juta bagi suku yang dikaji, kenaikan 54 peratus berbanding RM356 juta suku sama tahun lalu.
“Walau bagaimanapun, di peringkat operasi huluan, FGV melaporkan penurunan 17 peratus bagi pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan hasil masing-masing kepada 1.12 juta MT dan 4.43 MT/Ha pada S3 TK2021 berbanding suku yang sama tahun lepas. Ini berpunca daripada kekurangan pekerja asing dan penutupan operasi akibat perintah kawalan pergerakan (PKP),” jelasnya.
Sementara itu, pengeluaran MSM Kumpulan menurun sebanyak 14 peratus tahun ke tahun kepada 0.74 juta MT bagi suku yang dikaji, berikutan penurunan TBS yang diproses.
Tambah FGV, sektor gula di bawah anak syarikat tersenarai awam 51 peratus milikan FGV, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Group) meneruskan momentum kukuhnya dengan mencatatkan lonjakan keuntungan operasi sebanyak RM36 juta bagi suku yang dikaji berbanding kerugian operasi sebanyak RM6 juta pada S3 TK2020.
Ia berikutan peningkatan purata harga jualan gula dan keuntungan pembubaran lebihan lindung nilai gula mentah, katanya.
FGV juga menyaksikan Sektor Logistiknya mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM25 juta pada S3 TK2021, peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding RM20 juta pada suku yang sama sebelumnya.
“Walaupun isu kekurangan buruh yang berpanjangan dan gangguan operasi akibat pandemik Covid-19 yang terus menjejaskan produktiviti Kumpulan, kami menjangkakan keadaan akan pulih bermula dari S2 TK2022.
“Ini berikutan pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing ke negara ini yang akan meningkatkan liputan buruh di ladang kami yang kini hanya 70 peratus daripada jumlah keseluruhan keperluan syarikat,” kata Mohd. Nazrul. – UTUSAN










