PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menganjurkan Minggu Kewangan Mampan dari 8 hingga 12 November 2021 di Ekspo Dubai 2020, Emiriah Arab Bersatu.
Acara utama semasa Minggu Kewangan Mampan itu ialah persidangan maya yang diadakan dari 8 hingga 10 November ini.
Menurut SC, persidangan maya tiga hari itu dijangka akan menarik peserta dari seluruh dunia meliputi pengawal selia, pengantara sektor kewangan, pengurus dana dan pelabur pasaran swasta.
Jelasnya, bertemakan “Membolehkan Pembangunan Mampan melalui Kewangan Islam”, persidangan itu memberi peluang mengetengahkan peranan kewangan Islam sebagai pemacu untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kedudukan Malaysia sebagai penggerak awal dalam menyelaraskan pembangunan mampan dengan kewangan Islam.
“Program ini akan akan menampilkan temu bual ucap utama bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang akan membicarakan agenda kemampanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Ekspo Dubai 2020 dikenali sebagai ‘pameran hebat’, merupakan Ekspo Dunia pertama yang diadakan di rantau MEASA (Asia Barat, Afrika dan Asia Selatan).
Ia merupakan ekspo global yang paling dipelbagai sehingga kini, dengan penyertaan 192 negara bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022, jelas SC.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, kewangan Islam menyediakan khidmat kepada populasi yang lebih meluas secara sama rata dan tidak lagi dianggap khusus kepada orang Islam sahaja.
“Di peringkat global, industri kewangan Islam dijangka mencapai saiz AS$3.69 trilion (RM15.34 trilion) menjelang 2024, meningkat daripada AS$2.88 trilion (RM11.98 trilion) pada 2019, berikutan minat yang kukuh secara berterusan sebagai kaedah pengumpulan dana dan pelaburan,” katanya.
Malaysia, katanya, dikenali ramai kerana berada di kedudukan hadapan dalam kewangan Islam, dengan pencapaian membanggakan, disokong oleh ekosistem kondusif, rangka kerja kawal selia berkesan dan pembangunan modal insan yang kukuh.
“Membuka jalan ke arah pemulihan, kewangan sosial Islam dijangka memainkan peranan penting dalam memudahcarakan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan,” tambah beliau.
Menurut SC, antara tajuk perbincangan yang akan dirangkumi dalam Minggu Kewangan Mampan ini termasuk:
* Bagaimana Malaysia membangunkan pasaran ekuiti yang menekankan faktor kemampanan.
* Inisiatif kawal selia dalam memacu kemampanan melalui sektor perbankan Malaysia.
* Peraturan dan inisiatif yang inovatif untuk memacu pertumbuhan dalam kewangan mampan.
* Inovasi dalam pengurusan aset sebagai pemacu pertumbuhan SRI.
Penceramah lain di persidangan maya itu nanti termasuk Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Fraziali Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Abu Dhabi Global Market Authority, Mark Curtis dan Ketua Pegawai Eksekutif Climate Bonds Initiative, Sean Kidney.
Orang ramai yang berminat untuk menghadiri persidangan maya Minggu Kewangan Mampan boleh mendaftar di mysustainablefinanceweek.com.
SC merupakan badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.
Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal.
SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. – UTUSAN










