Ekonomi negara S3 menguncup 4.5% - Utusan Malaysia

Ekonomi negara S3 menguncup 4.5%

RMK12 bakal memacu lebih tinggi pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan sasaran menjadi antara 30 terbaik dunia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan berterusan sektor perniagaan telah menyebabkan ekonomi negara pada suku ketiga (S3) tahun ini menguncup sebanyak 4.5 peratus, selepas merekodkan pertumbuhan 16.1 peratus suku sebelumnya.

Penguncupan itu adalah yang kelima dan kedua terburuk dalam tempoh hampir dua tahun selepas suku kedua 2020 dengan penguncupan sebanyak 17.2 peratus.

Sejak negara dilanda pandemik Covid-19, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus merekodkan prestasi buruk dalam tempoh empat suku berturut-turut sejak S2 2020, sebelum tumbuh kukuh pada S2 2021 (16.1 peatus), namun kembali menguncup (4.5 peratus) S3 ketiga 2021.

Menurut Jabatan Perangkaan, penguncupan itu akibat langkah pembendungan Covid-19 yang ketat terutamanya pada Julai di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa 1.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi S3 dari segi penawaran dipengaruhi oleh kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi, terutama sektor pembinaan dan perkhidmatan.

“Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK menyusut 3.6 peratus, penurunan lebih besar berbanding penguncupan 1.9 peratus pada suku sebelumnya.

“Dari sudut permintaan, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi negatif kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan.

“Dari segi prestasi mengikut sektor pula, sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia menyusut 4.9 peratus pada S3 tahun ini berbanding pertumbuhan positif 13.5 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya semasa mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga 2021 secara maya, semalam.

Dari segi perbelanjaan, jelas Mohd. Uzir, permintaan dalam negeri terjejas dan menurun sebanyak 4.1 peratus pada suku tersebut, disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta.

Kata beliau, prestasi ekonomi bulanan negara bagaimanapun semakin pulih daripada kejatuhan 7.6 peratus pada Julai kepada -4.7 peratus pada Ogos dan terus bertambah baik kepada -1.1 peratus September 2021.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos berkata, pelonggaran langkah-langkah pembendungan secara berperingkat dan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik akan menjadi faktor penting bagi menyokong pemulihan pada masa hadapan.

Nor Shamsiah berkata, bagi tahun ini, ekonomi negara berada pada landasan untuk berkembang sebanyak 3 hingga 4 peatus disokong oleh kegiatan ekonomi yang bertambah baik.

“Menjelang 2022, trajektori pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi, pasaran pekerja yang terus bertambah baik, sokongan dasar berterusan dan pengembangan dalam permintaan luaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada S3 disebabkan terutamanya oleh luputnya kesan asas daripada harga bahan api dan pelaksanaan diskaun bil elektrik selama tiga bulan. Inflasi teras kekal pada 0.7 peratus pada suku tersebut

“Bagi perkembangan kadar pertukaran pula, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada S3 2021.

“Penyusutan itu sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS secara meluas berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir 2021,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, Sejak 1 Oktober, ringgit telah menambah nilai sebanyak 0.9 peratus (setakat 9 November) berbanding dolar AS, sejajar dengan trend mata wang serantau yang lain.

Menurut Nor Shamsiah, ringgit terus disokong oleh prospek dalam negeri yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi dan harga komoditi yang lebih tinggi.

“Pada masa hadapan, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan dan pertukaran asing dijangka mengalami volatiliti yang berkala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN