PETALING JAYA: Syarikat pengurusan pertanian moden tempatan, Durian Capital Berhad melancarkan skim pelaburan durian berlesan pertama di Malaysia.
Skim pelaburan durian itu dilesenkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dikhususkan untuk spesies Musang King.
Menurut Durian Capital, skim itu meliputi 200 ekar tanah di Jempol, Negeri Sembilan dengan lebih 8,000 unit berkepentingan tersedia untuk pelabur runcit dan institusi.
Katanya, syarikat berhasrat berkongsi peluang bagi membolehkan para pelabur menyertai lanskap pelaburan pertanian yang lumayan di negara ini.
Jelasnya, permintaan global terhadap durian dianggarkan lebih rancak pada masa hadapan, dengan jangkaan pasaran meningkat daripada AS$18.72 bilion (RM77.98 bilion) pada 2019 kepada AS$30 bilion (RM124.97 bilion) menjelang 2025.
“Pertambahan ini akan dipacu dengan permintaan tinggi dalam pasaran di China, yang akhir-akhir ini menampakkan minat terhadap durian. Sehingga kini, hampir satu peratus penduduk China telah mencuba durian.
“Trend masa kini di rantau ini teah pun menunjukkan pengambilan 1.1 kilogram durian per kapita menjelang 2030. Pada 2019, durian telahpun memintas buah ceri sebagai buah utama yang diimport oleh China daripada segi nilai pasaran.
“Spesies Musang King Malaysia akan terus kekal sebagai produk utama pilihan pencinta durian kerana ia lebih mudah didapati di pasaran terpilih di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Durian Capital berkata, bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang meningkat, syarikat telah memperuntukkan sebanyak 200 ekar untuk Skim Pelaburan Durian Capital kepada para pelabur yang ingin menyertai dan melabur di pasaran Musang King yang sedang berkembang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Durian Capital, Afiq Johar berkata, dengan pertumbuhan pasaran durian pada masa kini, syarikat telah merangka skim pelaburan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai dan berkongsi pertumbuhan buah kesayangan rakyat Malaysia itu.
“Kami juga berhasrat memperkasa kefahaman kewangan dan kepekaan pelaburan sebegini kepada rakyat Malaysia.
“Kami berharap Skim Pelaburan Durian akan memberikan pilihan kepada pelaburan bidang pertanian dan menawarkan produk pelaburan yang inklusif dan menambat hati rakyat Malaysia demi mempersiapkan masa hadapan yang lebih cemerlang,” katanya.
Pengarah Urusannya, Dr. Vijay Pillai pula berkata, syarikat berharap dengan pelesenan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 akan mengukuhkan keyakinan pelabur dengan tawaran Durian Capital khususnya tadbir urus, ketelusan dan perlindungan pelaburan yang jelas.
“Harapan kami Skim Pelaburan Durian akan menempa kejayaan dan melonjakkan pertumbuhan dan memacu sektor pertanian di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










