DNB peroleh pakej pembiayaan RM400 juta - Utusan Malaysia

DNB peroleh pakej pembiayaan RM400 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Digital Nasional Berhad (DNB) memperoleh pakej pembiayaan modal sehingga RM400 juta daripada Deutsche Bank.

Menurut DNB, pakej itu terdiri daripada jaminan bank sebanyak RM150 juta, yang akan dikeluarkan oleh Deutsche Bank AG,Cawangan Labuan, dan kemudahan pusingan kredit tidak bercagar sebanyak RM250 juta, oleh Deutsche Bank (Malaysia).

Katanya, kemudahan itu akan menyediakan DNB akses kepada pembiayaan jangka pendek untuk keperluan modal kerja, terutamanya untuk menyokong operasi harian syarikat dan perbelanjaan modal.

“Pakej pembiayaan RM400 juta itu merupakan sebahagian daripada jumlah anggaran RM5 bilion kemudahan modal kerja yang DNB perlukan antara sekarang dan 2024, untuk melancarkan rangkaian 5G yang dirancang.

“Kemudahan modal kerja ini akan dibiayai semula melalui Program Sukuk jangka panjang bermula pada 2022,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Kewangan DNB, Nik Azlan Aziz berkata, syarikat berbesar hati mendapat kemudahan modal kerja pertama daripada Deutsche Bank.

“Ini adalah yang pertama daripada beberapa kemudahan serupa yang kami aturkan. Perbincangan dengan sektor swasta telah membuahkan hasil, dan pihak bank pula menyokong. Penutupan kemudahan RM400 juta dengan Deutsche Bank adalah bukti,” katanya.

DNB memberitahu, syarikat telah diberi mandat oleh Kementerian Kewangan untuk menjadi pihak berkecuali tunggal bagi melaksanakan rangkaian dan infrastruktur 5G di seluruh negara.

Bagi tujuan itu, DNB telah ditugaskan untuk mendapatkan pembiayaan daripada sektor swasta, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN