Pengundi hargai RMK12, Bajet 2022 dan Keluarga Malaysia
PETALING JAYA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membawa maksud tersirat bahawa pengundi di negeri itu menghargai dasar-dasar yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Meskipun dasar yang dibawa Naib Presiden UMNO itu tidak begitu ditonjolkan semasa berkempen, namun secara tidak langsung ia adalah kesedaran pengundi negeri itu sendiri untuk memilih kerajaan yang bijak dan boleh mengamalkan dasar berkenaan.
Penganalisis politik dan geostrategis, Dr. Azmi Hasan berkata, secara tersiratnya, walaupun pengundi Melaka memilih kerajaan negeri tetapi mereka juga memikirkan kestabilan dan kecekapan Kerajaan Persekutuan.
“Tiga faktor iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Bajet 2022 dan konsep Keluarga Malaysia yang memang jangkit (pengaruhi) walaupun Ismail Sabri tidak digunakan sebagai ikon tarikan.
“Apabila pengundi Melaka memilih BN, maka mereka mahu kerajaan yang bijak, boleh mengurus dan ini bermaksud mereka menghargai RMK-12, Bajet 2022 dan Keluarga Malaysia.
“Perkara itu tidak ditimbulkan secara langsung dalam kempen kerana mungkin bukannya faktor tempatan,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, Azmi berkata, secara tidak langsungnya, perkara itu adalah atas kesedaran pengundi di Melaka itu sendiri yang mahukan kerajaan yang boleh mengamalkan tiga dasar berkenaan.
“Maka, pilihan kerajaan paling terbaik yang boleh mengamalkan dasar itu adalah BN dan sebab itu mereka memilih BN,” ujarnya.
RMK12 dirangka dengan mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih cerah, dengan objektif “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”.

Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ pula memperuntukkan jumlah sehingga RM332.1 bilion yang terus menyokong pemulihan negara berdasarkan tiga keperluan utama iaitu meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Konsep Keluarga Malaysia menggariskan tiga teras utama merangkumi keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri untuk bekerja secara bersama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Azmi berkata, di sebalik itu, faktor utama adalah pengundi Melaka mahukan kestabilan.
“Masalah Perikatan Nasional (PN) ialah pengundi tidak melihat kestabilan itu terutama sekali dalam Kerajaan Persekutuan.
“Pakatan Harapan (PH) pula ada stigma 22 bulan memerintah, jadi pengundi Melaka mempunyai pilihan BN yang ada sejarah kestabilan.
“Apa yang ditawarkan BN adalah untuk menentukan kerajaan negeri itu stabil dan secara tidak langsung Kerajaan Persekutuan juga menjadi lebih stabil,” jelasnya.
Senada dengan beliau, penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian yang tidak menolak dasar-dasar Perdana Menteri yang datang daripada BN turut mempengaruhi kemenangan besar parti itu di Melaka.
Katanya, ini kerana dasar beliau yang condong kepada aspirasi-aspirasi yang mahu dibawa ketika proses pemulihan.
“Dasar beliau merangkumi RMK-12, Bajet 2022 dan Keluarga Malaysia, tetapi itu semua harus diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan sebelum pilihan raya umum nanti,” katanya.
Menurut Sivamurugan, perkara itu adalah salah satu faktor kemenangan di Melaka dan penerimaan pengundi terhadap BN kerana banyak lagi faktor lain yang turut mempengaruhi.
“Pemilihan calon yang disesuaikan dengan demografi Melaka, kedua adalah diimbangi dengan kekuatan parti dan jentera Melaka yang kurang memainkan isu pembunuhan karakter calon sesebuah parti tetapi memainkan soal kestabilan kemakmuran kesejahteraan.
Kesetiaan pada parti juga faktor ahli-ahli untuk kembali menyokong BN. – UTUSAN










