PETALING JAYA: Damansara Holdings Berhad (DBhd) mengumumkan pelantikan Datuk Nor Azri Zulfakar sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif baharu.
Syarikat itu turut mengumumkan pelantikan Muaazam Mahmud yang menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan.
Pelantikan Nor Azri dan Muaazam dibuat berikutan peletakan jawatan Datuk Ahmad Zahri Jamil dan Azman Tambi Chik, jelasnya dalam kenyataan.
DBhd turut mengalu-alukan pelantikan tiga Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif baharu bulan lalu iaitu Datuk Sr. Akmal Ahmad, Shamsul Anuar Abdul Majid dan Hazman Hilmi Sallahuddin.
Jelasnya, barisan baharu Lembaga Pengarah DBhd terdiri daripada tujuh ahli akan diketuai oleh Nor Azri.
“Bagi pihak Syarikat, kami amat mengalu-alukan kedatangan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu.
“Kami amat berbesar hati dan berharap pelantikan ini akan menyumbang perkhidmatan yang lebih cemerlang dengan adanya kepakaran dan pengalaman luas kesemua barisan ahli lembaga pengarah. Mewakili pihak pengurusan, kami sememangnya amat teruja untuk bekerjasama dalam memacu pertumbuhan dan meningkatkan momentum DBhd ke arah transformasi yang baharu,” kata Muaazam.
DBhd turut mengumumkan bahawa Datuk Mohd. Aisom Omar turut meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa 9 November 2021 disebabkan komitmen kerja yang lain.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Zahri, Azman dan Mohd Aisom atas sumbangan dan dedikasi kepada syarikat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka,” tambah Muaazam.
DBhd atau sebelum ini dikenali sebagai Damansara Realty Berhad merupakan syarikat pegangan pelaburan yang ditubuhkan pada 1960 dan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 1973.
Tiga segmen perniagaan utama DBhd adalah pembangunan hartanah (PLD), pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) dan perundingan pengurusan projek (PMC). DBhd juga mempunyai anak syarikat berpangkalan di Singapura dan Filipina. – UTUSAN










