PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan telah menyempurnakan semua syarat Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Kredit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc.) untuk pengambilalihan 100 peratus Danajamin Nasional Berhad (Danajamin).
Menurut BPMB, pertimbangan pembelian itu berdasarkan kepada nilai aset bersih (NAB) Danajamin yang diaudit pada 30 Jun 2021.
“Pengambilalihan itu mengubah Danajamin menjadi anak syarikat milik penuh BPMB.
“Ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk menambah baik kewangan sektor pembangunan untuk menyokong dengan lebih baik perniagaan dan pembangunan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas perkembangan tersebut, Pengerusi BPMB, Datuk Seri Nasir Razak berkata, pengambilalihan Danajamin merupakan satu sejarah.
“Sebagaimana fasa satu daripada rancangan yang lebih besar untuk menyatukan institusi kewangan pembangunan (DFI), kami bertekad bahawa penggabungan ini akan menjadi penanda aras bagi penggabungan DFI yang berjaya,” katanya.
Kata Nazir, sebagai antara DFI tertua di Malaysia, BPMB menyedari keperluan untuk meningkatkan peranan bagi membantu pertumbuhan pembangunan ekonomi Malaysia bagi memenuhi aspirasi pertumbuhan jangka sederhana dan panjang.
“Dalam masa terdekat, kami akan kekal berperanan sebagai `pemborong’ atau medium kepada DFI korporat yang besar, dan BPMB serta Danajamin akan beroperasi seperti biasa.
“Kami berharap untuk menyepadukan operasi kedua-duanya institusi dalam masa terdekat dan untuk memperluaskan liputan kami kepada pelanggan lain segmen pada masa hadapan,” katanya
Jelasnya, penggabungan BPMB dan Danajamin dijangka menjana hasil dan sinergi kos dari semasa ke semasa dengan kedua-dua institusi meningkatkan perkongsian sumber dan mengintegrasikan operasi. – UTUSAN










