Bajet 2022 tidak ubah nasib pesawah - Utusan Malaysia

Bajet 2022 tidak ubah nasib pesawah

PESAWAH mendakwa, ketika kos bersawah naik berlipat kali ganda, jumlah subsidi yang diberikan masih sama. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan Jumaat lalu dilihat tidak melindungi pesawah apabila golongan itu masih perlu menanggung sepenuhnya kenaikan kos bersawah yang naik hampir setiap tahun.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob berkata, belanjawan yang dibentangkan tidak membawa apa-apa perubahan dalam industri padi dan beras apabila hanya subsidi sama yang memang wajib diberikan kepada pesawah diulang sebut berkali-kali.

Kata beliau, ketika kos bersawah naik berlipat kali ganda, jumlah subsidi yang diberikan masih sama.

“Ini tidak adil kerana harga beras dan harga padi tidak dinaik­kan seiring dengan harga kos. Selama ini, harga beras dikawal pada RM2.60 sekilo manakala harga minimum terjamin padi (sudah menjadi harga tetap di peringkat kilang) masih RM1.20 sekilo.

“Ini tidak termasuk faktor potongan pemutuan (potongan untuk mendapatkan berat bersih) yang semakin tinggi oleh kilang beras,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Fuad, situasi itu menunjukkan beras murah yang dinikmati rakyat Malaysia sebenarnya ditanggung sepenuhnya oleh pesawah yang terpaksa menampung kos yang meningkat namun harga jualan ditetapkan pada kadar rendah.

“Hal ini tidak berlaku kepada sayuran, ikan dan makanan lain yang harganya naik apabila kos meningkat, iaitu kenaikan kos ditanggung juga oleh pemborong dan pengguna.

“Bajet 2022 juga ada membantu pihak petani dan pengeluar makanan lain yang menghadapi kenaikan kos tetapi tidak membantu pesawah yang mengeluarkan makanan ruji rakyat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, dalam nada kecewa, Mohd. Fuad mencadangkan supaya kerajaan mengapungkan sahaja harga beras jika tidak mahu memberikan subsidi yang merupakan balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras.

Bagi memastikan rakyat masih mampu untuk membeli beras, beliau mengesyorkan supaya kerajaan memberikan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan rentan.

“Namun sebelum itu, sistem yang sudah tidak betul sekarang mesti diperbetul. Mono­poli benih dan input pertanian mesti dihapuskan. Biarkan semua pihak boleh mengeluarkan benih, kilang apa pun diboleh­kan mengeluarkan benih, syarikat apa pun boleh membekalkan input pertanian.

“Kilang-kilang beras juga mesti dibantu untuk ditubuhkan. Perbanyakkan kilang walaupun kilang kecil-kecilan di kawasan komuniti setempat menggunakan mesin kecil sekalipun.

“Ini lebih adil daripada dikawal harga beras, diberi subsidi tetapi tidak melihat kenaikan kos yang berganda-ganda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN