Aiskrim Mokti’s bakal tembusi pasaran luar negara - Utusan Malaysia

Aiskrim Mokti’s bakal tembusi pasaran luar negara

SITI Fatimah Adnan (tengah) dan pekerjanya menunjukkan airkrim serta minuman gula apong jenama Mokti’s di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Aiskrim gula apong jenama Mokti’s semakin digemari dan popular dalam kalangan pengemar aiskrim sejak mula diperkenalkan di pasaran tahun lalu.
Lebih membanggakan, aiskrim tersebut merupakan produk keluaran muslim yang diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, PMA Rich (M) Sdn. Bhd. (PMA Rich), Siti Fatimah Adnan, 30, berasal dari Perlis.

Pada masa ini, PMA Rich telah membuka 52 cawangan Mokti’s di seluruh Semenanjung dan cawangan pertama dibuka di Jejawi, Perlis pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, cawangan terbaharu yang dibuka adalah di Gurun dekat sini dan Raub, Pahang pada 4 November lalu.

Perniagaan di cawangan Mokti’s di Langkawi yang dibuka pada 30 Oktober lalu pula berkonsepkan perkhidmatan premium signature.

Antara aiskrim yang dijual di cawangan Mokti’s adalah Apong Honeycomb, Apong Baby Bob, Apong Asli, Mixed Apong Honey­comb, Mixed Apong Baby Bob, Honeycomb Cream, Honey Bee, Matcha Honeycomb, Matcha Baby Bob, Matcha Apong, Apongato.

Sementara itu, minuman yang dijual pula adalah Foggy Apong, Mokti’s Latte, Machiapong dan Strawberry Apong.

Kesemua aiskrim dan minuman yang dijual itu berharga antara RM1 hingga RM15 sahaja.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk Siti Fatimah yang merupakan suri rumah untuk melebarkan empayar perniagaannya ketika keadaan ekonomi tidak stabil disebabkan pandemik Covid-19.

SITI Fatimah Adnan bersama suami, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskanderndzulkarnein di hadapan kedai aiskrim Mokti’s cawangan Kangar, Perlis.

Menurut Siti Fatimah, dia sebenarnya bermula dari bawah sebagai seorang penjual aiskrim cup dengan membuka bonet kereta di taman rekreasi dan majlis kenduri di sekitar Perlis.

“Ketika berniaga aiskrim itu saya membawa dan membunyikan loceng tangan untuk menarik perhatian pelanggan terutama kanak-kanak.

“Saya berniaga dari bawah dengan `merangkak’ setapak demi setapak untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan aiskrim dan bukan mudah untuk berjaya kerana banyak cabaran yang perlu ditempuhi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Siti Fatimah, ibu kepada tiga orang anak berusia tiga hingga enam tahun berkata, pada masa sama, dia juga belajar membuat pelbagai jenis aiskrim berasaskan gula apong dari Sarawak.

Jelasnya, dia mula berminat dengan aiskrim gula apong ketika mengikut suaminya yang juga Ketua Pegawai Pemasaran PMA Rich, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskanderndzulkarnein, 32, yang sebelum ini bekerja di Bintulu, Sarawak.

“Selepas itu, saya membuat keputusan untuk memasarkan aiskrim gula apong dan kemudian menyewa sebuah premis dengan sewa RM1,000 sebulan dan modal permulaan sebanyak RM50,000 untuk memulakan perniagaan di Jejawi, Arau, Perlis pada Jun 2019.

“Pada peringkat awal, orang ramai khususnya di negeri ini tidak begitu mengetahui keistimewaan gula apong yang terkenal di Sarawak.

“Namun, berkat kesungguhan dan kesabaran, aiskrim gula apong mula berhasil apabila mula diterima dan mendapat sambutan. Selain itu, beberapa orang YouTuber juga membantu mempromosikan aiskrim yang saya jual.

“Alhamdulillah, aiskrim gula apong mula diterima dan diminati penduduk setempat dan perniagaan semakin mendapat sambutan dan berkembang maju,” ujar­nya.

Bermula dari situ, Siti Fatimah berkelulusan ijazah dalam bidang pengurusan ladang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kota Samarahan, Sarawak berkata, dia mula mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan Mokti’s dan menyasarkan sebanyak 80 cawangan sehingga hujung tahun ini.

SITI Fatimah Adnan (kanan) memberi taklimat kepada pekerjanya di kilang memproses aiskrim Mokti’s di Kangar, Perlis. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Bagaimanapun katanya, pada tahun depan pula dia hanya meletakkan sasaran membuka sebanyak 30 cawangan termasuk di Sabah, Sarawak dan luar negara.

Antara negara yang bakal ditembusi oleh aiskrim gula apong Mokti’s adalah Singapura, Indonesia dan Arab Saudi.

“Saya mahu memberi tum­puan mempertingkatkan jualan aiskrim di semua cawangan termasuk mengadakan promosi secara besar-besaran pada tahun depan,” katanya.

Selain itu, tambahnya, PMA Rich telah membuka empat buah kilang memproses aiskrim.

Dua daripada kilang tersebut terletak di Mara Halal Park Kuala Perlis.

“Kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) cawangan Kangar yang banyak memberi khidmat nasihat bagaimana untuk kembangkan perniagaan,” katanya lagi.

Siti Fatimah memberitahu, setiap bulan, PMA Rich menggunakan sebanyak 10 tan gula apong dari Sarawak dan enam tan madu untuk membuat aiskrim Mokti’s.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai aiskrim Mokti’s boleh melayari www.moktis.com dan Facebook Mokti’s HQ Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×