WASHINGTON: Harga minyak meningkat semalam dengan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencapai paras tertinggi dalam tujuh tahun susulan bekalan global kekal yang ketat di tengah-tengah permintaan yang tinggi di seluruh dunia ketika ekonomi sedang pulih akibat pandemik Covid-19.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 26 sen atau 0.3 peratus kepada AS$85.79 (RM356.03) berikutan kenaikan 1.1 peratus pada Jumaat lalu. Kontrak itu menghampiri paras tertinggi dalam tiga tahun kepada AS$86.10 (RM357.31) pada Khamis lalu.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turut meningkat 48 sen atau 0.6 peratus kepada AS$84.24 (RM 349.60) setong, selepas menaik 1.5 peratus pada Jumaat lalu, paras tertinggi sejak Oktober 2014 aiitu AS$84.28 (RM349.76).
Penganalisis Fujitomi Securities Co. Ltd., Totshitaka Tazawa berkata, sentimen kenaikan harga terus menyokong harga minyak memandangkan bekalan global tetap ketat pada saat permintaan sedang pulih daripada pandemik Covid-19.
“Tetapi keuntungan segera untuk kontrak jangka pendek minyak mentah WTI mungkin terhad memandangkan penolakan harga semakin meningkat.
“Itu bermakna kontrak perdagangan bulan depan akan berada pada harga yang lebih rendah berbanding kontrak semasa. Biasanya pada bulan akan datang ia akan didagangkan pada harga yang lebih tinggi, mencerminkan kos menyimpan minyak,” katanya.
Lapor Reuters, harga minyak juga telah disokong oleh kebimbangan terhadap kekurangan arang batu dan gas di China, India dan Eropah, yang mendorong penukaran bahan api kepada diesel dan minyak.
Mencerminkan sentimen pasaran yang kukuh, pengurus wang telah meningkatkan kedudukan niaga hadapan dan pilihan minyak mentah AS mereka pada minggu ini kepada 19 Oktober lalu, menurut Suruhanjaya Dagangan Hadapan Komoditi A.S (CFTC) pada Jumaat lalu.
Hujung minggu lalu, putera mahkota Arab Saudi memberitahu, pengeksport minyak utama dunia itu menyasarkan untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar, yang kebanyakannya dihasilkan oleh pembakaran bahan api fosil menjelang 2060, iaitu 10 tahun lebih lambat berbanding AS.
Sementara itu, firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes Co. dalam laporannya pada Jumaat lalu berkata, firma tenaga AS pada minggu lalu telah mengurangkan operasi di pelantar minyak dan gas asli untuk pertama kali dalam tempoh tujuh minggu walaupun harga minyak sedang meningkat. – AGENSI










