PUTRAJAYA: Pembukaan semula pergerakan rentas negeri bermula hari ini menyaksikan Malaysia Airlines (MAS) berjaya merekodkan lebih 500 peratus penempahan penerbangan domestik.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail menerusi kenyataan media susulan pengumuman mengenai kelonggaran tersebut semalam.
“Kami berasa gembira untuk melaporkan bahawa Malaysia Airlines dapat mencatatkan rekod peningkatan lebih 500 peratus untuk tempahan bagi semua penerbangan domestik,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri susulan kejayaan kadar vaksinasi negara yang melepasi 90 peratus populasi dewasa.
Bagaimanapun, kelonggaran tersebut hanya terhad kepada individu yang sudah pun lengkap dua dos imunisasi kecuali kanak-kanak bawah 12 tahun, tanpa perlu permit daripada polis.
Mengulas lanjut, Izham berkata, angka dicapai syarikat penerbangan kebangsaan itu di luar jangkaan dan jauh lebih tinggi berbanding ketika gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi.
“Ia mengatasi rekod tertinggi dicapai program rintis itu sejak dilancarkan kerajaan pada 16 September lepas bagi mereka yang sudah disuntik dua dos vaksin,” jelasnya.
Pada masa sama ujarnya, sayap percutian Malaysia Airlines, MH Holidays turut menyaksikan trend penjualan pakej percutian melebihi 100 peratus daripada sasaran awal yang ditetapkan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa operator penerbangan nasional itu terus kekal komited memberi perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi permintaan kukuh daripada pelanggan.
Malahan jelasnya, Malaysia Airlines menerima penarafan tujuh bintan bagi pengawalan wabak Covid-19 dalam pesawat menerusi laporan penyelidikan terbaharu oleh pihak Airline Ratings.
Sehubungan itu, bersempena pembukaan semula aktiviti rentas negeri, syarikat tersebut menawarkan tiket serendah RM59 sehala selain diskaun sehingga 50 peratus pakej MH Holiday.
“Tawaran ini juga merangkumi elaun berat bagasi tujuh kilogram, hidangan ringan, makanan dan minuman percuma serta hiburan dalaman sepanjang penerbangan,” tambah Izham lagi.
Katanya, tawaran berkenaan sah untuk semua tempahan penerbangan dalam negeri bermula 10 sehingga 31 Oktober 2021 merangkumi perjalanan sehingga 21 April 2022. – UTUSAN










