GEORGETOWN: Rangkaian tujuh hotel di bawah Kumpulan Shangri-La di negara ini menawarkan perlindungan kemalangan peribadi tanpa caj tambahan kepada pelanggan yang menginap di situ sebagai langkah meningkatkan keyakinan pengunjung kembali melancong ke hotel berkenaan.
Pengarah Komunikasi Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa dan Golden Sand Resort Pulau Pinang, Suleiman Tunku Abdul Rahman berkata, selain kemalangan, perlindungan insuran berkenaan yang ditawarkan sejak September lalu sehingga Disember ini turut merangkumi perlindungan bagi wabak Covid-19.
“Perlindungan kemalangan peribadi StaySurance menyediakan perlindungan menyeluruh kepada tetamu yang bermula sebelum mereka mendaftar masuk ke hotel di bawah Kumpulan Shangri-La.
“Tetamu yang berdaftar akan dilindungi daripada sebarang kemalangan yang tidak dijangka walaupun mereka berada di luar hotel,” katanya ketika ditemui di Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi, di sini, semalam.
Menurut Suleiman, salah satu faedah utama StaySurance ialah faedah tunai harian hospital sehingga AS$100 (RM419) sehari sekiranya tetamu yang diinsuranskan dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti penyakit berjangkit seperti Covid-19.
“Apabila tetamu menginap di hotel Shangri-La di Malaysia, mereka boleh bercuti dengan lebih yakin dengan adanya perlindungan insurans sebegini.
“Selain di rangkaian tujuh hotel di Malaysia, Kumpulan Shangri-La turut menawarkan perlindungan yang sama di rangkaian hotel kami di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu kata beliau, pihaknya menjangkakan tempahan bilik terutama daripada pelanggan setia di Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa dan Golden Sand Resort akan mencecah 70 peratus sehingga Disember tahun ini.
“Kami beroperasi setakat 70 peratus sahaja ketika ini memandangkan perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19.
“Selain itu, pekerja sedia ada juga tidak dapat menampung pertambahan pelanggan sekiranya kami beroperasi pada kadar 100 peratus memandangkan pekerja kasual kurang mencukupi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hampir 600 pekerja di Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa dan Golden Sand Resort telah menyelesaikan dos vaksin Covid-19 mereka.
“Pekerja telah bersedia dari segi vaksin Covid-19 dan pelanggan sudah tentu akan merasa lebih selamat untuk bercuti di sini,” katanya. – UTUSAN










