PETAING JAYA: Guardian Malaysia menyumbang sebanyak 10,000 pek #guardiancare bernilai RM400,000 kepada kanak-kanak di 30 buah sekolah di seluruh negara dengan kerjasama Yayasan Perintis Malaysia sempena meraikan ulang tahun ke-54.
Sumbangan itu sempena pelancaran #guardiancare, inisiatif lestari yang prihatin terhadap pelanggan, keluarga mereka, pilihan membeli-belah dan komuniti di mana mereka tinggal.
Ketua Pemasaran Guardian Health & Beauty Sdn. Bhd., Angela Teo berkata, pihaknya ingin memberi inspirasi dan memperkasa pelanggan dalam membuat pilihan yang sihat dan lestari ketika memilih jenama-jenama kesihatan dan kecantikan mereka percayai di Guardian.
Paling utama katanya, Guardian ingin pelanggan `peduli’ tentang apa yang mereka beli, seterusnya menjadikan persekitaran lebih baik.
“Di Guardian, kami percaya bahawa kecantikan bermula dari dalam. Dengan memilih untuk peduli, bersama-sama kita dapat melakukan perubahan.
“Oleh itu, inisiatif ini berpaksi pada sentimen ‘kerana saya peduli’, dan akan memfokuskan kepada tiga teras utama yang berkaitan dengan tujuan jenama Guardian. Teras tersebut adalah kesihatan, komuniti dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Setiap pek #guardiancare mengandungi sebuah Buku Panduan Covid-19 direka khas, yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta produk kebersihan diri seperti pencuci tangan, cecair pembasmi kuman, topeng muka, tisu dan vitamin Gummies untuk kanak-kanak. Pek-pek #guardiancare ini akan diagihkan kepada kanak-kanak sekolah dari golongan B40 di sekolah-sekolah yang dikenalpasti oleh stor Guardian yang
berdekatan.
Untuk memberi lebih ganjaran kepada pelanggan, dalam bulan ulang tahunnya, Guardian telah mengadakan Bonanza Membeli-Belah Ulang Tahun ke-54 di semua platform media sosialnya.
Ia menyediakan tawaran hebat potongan 54 peratus untuk pembelian item kedua bagi barangan penjagaan diri, penjagaan kesihatan dan penjagaan kulit, produk rambut dan mandian Botaneco. – UTUSAN










