PPN, Belanjawan 2022 pemangkin pemulihan negara - Utusan Malaysia

PPN, Belanjawan 2022 pemangkin pemulihan negara

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dan Belanjawan 2022 akan menjadi landasan usaha pemulihan dan pembaharuan jangka panjang negara melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata,  PPN akan menetapkan negara ke arah pemulihan berdasarkan sains dan data manakala Belanjawan 2022 akan menjadi asas bagi usaha reformasi kerajaan yang lebih meluas.

“Dalam hal ini, usaha berterusan mesti dilakukan bukan hanya dengan menangani Covid-19, malah tampil lebih berdaya tahan dalam tempoh pascawabak.

“Kedua, dalam mencapai tujuan jangka pendek dalam mencegah kemelesetan ekonomi, kita juga mesti mengambil kesempatan menangani masalah struktur dalam jangka masa sederhana dan panjang. 

“Akhir sekali, infrastruktur digital yang tepat sangat penting terutama dalam mengurangkan ketidaksamarataan bandar-luar bandar,” katanya dalam ucapan penutup Khazanah Megatrends Forum 2021 secara maya, semalam.

Untuk memastikan kejayaannya, Zafrul menegaskan, Kementerian Kewangan komited untuk membiayai perbelanjaan pembangunan negara seperti yang diperincikan dalam RMK12.

Ujarnya, keutamaan rancangan tersebut adalah untuk memangkin pertumbuhan, mengurangkan jurang perbezaan sosioekonomi dan memastikan kelestarian persekitaran.

“Rancangan ini juga akan menumpukan usaha memartabatkan keselamatan dan kedaulatan negara serta memantapkan perpaduan nasional.

“Justeru, lima tahun akan datang bakal menyaksikan peralihan penting kepada amalan ekonomi yang lebih mampan. Dalam RMK12, antara matlamat utama adalah mencapai 45 peratus pelepasan gas rumah hijau kepada KDNK menjelang 2030, berbanding tahap intensiti 2005.

“Secara keseluruhan, RMK12 menyasarkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, menghasilkan pendapatan negara kasar (GNI) per kapita kepada RM57,882 atau AS$14,842 pada 2025, di samping meningkatkan pekerjaan,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha kerajaan untuk melengkapkan RMK12 memerlukan pengukuhan asas yang lebih terbuka, berorientasikan perdagangan dan ekonomi berasaskan perkhidmatan.

“Bagi perdagangan, pelaksanaan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 dan perjanjian perdagangan bebas baharu termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau diharapkan dapat meningkatkan pertumbuhan perdagangan. 

“Sudah tentu, pelaburan adalah sangat kritikal dan perlu mendapat rakan kongsi yang tepat. Dalam hal ini, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang diketuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diperkenalkan untuk mempromosikan aliran kualiti pelaburan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN