PMB Investment sasar dana RM15 juta - Utusan Malaysia

PMB Investment sasar dana RM15 juta

MAHANI IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Bhd. menyasarkan untuk mengumpul dana RM10 juta hingga RM15 juta menjelang akhir tahun melalui Dana Ekuiti Global Syariah PMB (PMBSGEF) yang baru dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahani Ibrahim berkata, dana itu akan memberikan akses kepada portfolio sekuriti patuh syariah global kepada para pelabur dan diuruskan secara aktif.

“PMBSGEF menawarkan pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang dengan melabur dalam pelbagai portfolio sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di pasaran global.

“Ia sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap toleransi risiko sederhana hingga tinggi dalam pelaburan unit amanah,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran PMBSGEF secara maya, semalam.

Dana global pertama PMB itu dilancarkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahani memaklumkan, PMB Investment juga menyasarkan untuk mengembangkan saiz dana PMBSGEF kepada RM25 juta hingga RM50 juta dalam tempoh setahun selepas pelancaran.

“Pelaburan permulaan minimum ialah RM1,000 untuk pelabur individu dan RM10,000 untuk pelabur institusi, manakala pelaburan tambahan minimum masing-masing RM100 dan RM1,000.

“Dana kini boleh dibeli dengan harga 50 sen seunit untuk masa terhad daripada perunding unit amanah kami atau boleh membuat pembelian di pejabat PMB di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata, dana itu akan melabur sehingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuiti global patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh syariah di lebih 15 negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, China dan Jepun.

“PMB Investment bekerjasama dengan Nasdaq Dorsey Wright (NDW), penasihat utama kepada Wall Street dan pengurus pelaburan di seluruh dunia untuk menguruskan dana menggunakan metodologi dan strategi pelaburannya.

“PMBSGEF ini akan menjadi peluang menarik bagi pelabur Malaysia yang ingin mempelbagaikan pendapatan mereka melalui platform pelaburan berlandaskan syariah di peringkat global sejajar dengan kesan pemulihan ekonomi dunia selepas memberian vaksin Covid 19”, tambahnya.

PMB Investment merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelopor dalam pengurusan unit amanah dan pengurusan portfolio. PMB Investment menguruskan 18 dana termasuk PMB Shariah Global Equity Fund dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas aset utama iaitu ekuiti, sukuk dan pasaran modal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN