Negara masih perlu import 26.1 juta liter susu - Utusan Malaysia

Negara masih perlu import 26.1 juta liter susu

INDUSTRI tenusu berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara masih perlu mengimport sebanyak 26.1 juta liter susu setahun dari luar negara untuk memenuhi keperluan domestik.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, pada 2020, penggunaan susu dalam negara adalah sebanyak 69.4 juta liter setahun.

Bagaimanapun, industri tenusu tempatan hanya mampu mengeluarkan sebanyak 43.3 juta liter setahun, walaupun menunjukkan peningkatan berbanding 2015 sebanyak 36.4 juta liter.

Jelasnya, di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), tahap sara diri (SSL) susu segar disasarkan sebanyak 100 peratus menjelang 2030 berbanding 62.4 peratus pada 2020.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025.

“Usaha ini juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama daripada pemain industri ke arah pembangunan industri tenusu yang lebih berdaya maju,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Badrul Hisham Mohd. berkata, jalinan kerjasama kementerian dengan Farm Fresh Berhad adalah untuk meningkatkan pengeluaran susu dan memasarkan kepada pengguna melalui pelbagai platform.

Katanya, hasil kerjasama strategik itu telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dengan melahirkan seramai 45 stokis, 832 homedealers dan 1,302 ejen di seluruh negara dan Singapuran, sebahagian besar terdiri daripada suri rumah.

“Pendekatan ini untuk memastikan setiap keluarga Malaysia kekal mempunyai akses kepada sumber makanan yang berkhasiat dengan harga yang berpatutan, di samping membantu industri tenusu terus berkembang yang pastinya memberi manfaat kepada penternak,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian sentiasa komited untuk membantu para usahawan membangunkan perniagaan berasaskan produk pertanian dan industri asas tani melalui Geran Agropreneur Muda.

Di bawah geran itu, pemohon boleh memohon bantuan sehingga RM20,000 bagi tujuan pemasaran dan kemudahan seperti peralatan dan trak makanan bergerak (mobile food truck). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×