PETALING JAYA: Lembaga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh telah memutuskan untuk meninggalkan MAHB, bagi mencari peluang lain, berkuat kuasa pada 24 Oktober ini.
Mohd. Shukrie menyertai MAHB sebagai Ketua Pegawai Operasi pada Mei 2019 sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mac 2020.
Menurut MAHB, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Mohd. Shukri telah memimpin kumpulan melalui tempoh terburuk sepanjang pandemik Covid-19 dan mengekalkan operasi serta kestabilan kewangan Kumpulan.
“Lembaga Pengarah ingin mengucapkan terima kasih kepada Mohd. Shukrie atas perkhidmatannya dan mengucapkan selamat maju jaya di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
MAHB sebelum itu mengumumkan pelantikan Datuk Iskandar Mizal Mahmood sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 25 Oktober ini.
Iskandar mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dalam bidang korporat dan pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat dari syarikat multinasional hingga syarikat milik kerajaan (GLC), dalam pelbagai sektor, di mana 18 tahun memegang jawatan di peringkat kepimpinan.
Beliau pernah memegang jawatan pengurus besar di MAHB pada 1999 hingga 2003 di mana beliau memimpin Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan penyenaraian MAHB di Bursa Malaysia.
Jawatan lain yang beliau sandang antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (2013 hingga 2015), Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima serta panel pelaburan Lembaga Tabung Haji (2016 hingga 2018). – UTUSAN










