Mercedes-Benz buka pusat logistik di Johor - Utusan Malaysia

 Mercedes-Benz buka pusat logistik di Johor

PUSAT logistik selepas jualan Mercedes-Benz di Johor Bahru akan ditumpukan sebagai tapak pengedaran untuk alat ganti. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pembuat kereta terkemuka dunia, Mercedes-Benz memuktamadkan rancangan pembukaan pusat logistik selepas jualan di Bandar Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru.

Syarikat yang berpangkalan di Jerman itu telah menandatangani perjanjian pajakan jangka panjang untuk lokasi tersebut dan operasinya dijangka bermula pada 2024.

Menurutnya, pemaju untuk bangunan baharu tersebut merupakan Tiong Nam Logistics Solutions Sdn. Bhd. yang akan menerajui pembangunan di lokasi tersebut dan menjadi pemilik kepada gudang baharu yang akan dibangunkan.

Naib Presiden Perkhidmatan Global dan Operasi Bahagian Mercedes-Benz, Thomas Schulz berkata, dengan perancangan pembinaan pusat tersebut, syarikat itu komited dan akan melabur untuk memperkukuh kedudukan di Malaysia.

“Kami menemui keadaan yang baik dan sokongan yang kuat dalam kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta kementerian berkaitan.

“Terletak secara strategik di Johor Bahru, pusat logistik selepas jualan ini akan membolehkan kami mengukuhkan kedudukan sebagai hab pengedaran global dan serantau sementara mencipta pekerjaan baharu untuk wilayah tersebut.

“Kedua-dua pelanggan dan rangkaian pengedar kami akan menikmati perkhidmatan yang baik dan piawaian yang berkualiti tinggi melalui infrastruktur ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mercedes-Benz, pusat pengedaran baharu tersebut akan menjadi sebahagian daripada rangkaian rantaian bekalan selepas jualan Daimler AG.

Jelasnya, pusat tersebut juga akan ditumpukan sebagai tapak pengedaran untuk alat ganti di rantau Asia Pasifik serta negara lain.

Katanya, kemudahan baharu tersebut akan menguruskan pengimportan, penyimpanan dan pengurusan serantau untuk pengedaran alat ganti dan aksesori.

“Saiz gudang di lokasi yang dirancang kira-kira sejuta kaki persegi. Sistem pengurusan bangunan gudang baharu itu akan dilengkapi dengan sistem penyimpanan dan pengendalian bahan yang terkini.

“Syarikat yang baru ditubuhkan, Mercedes Benz Parts Logistics Asia Pacific (Malaysia) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Mercedes-Benz AG akan mengoperasikan pusat logistik selepas jualan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya