Malaysia ada potensi lepasi sasaran KDNK 3-4% - Utusan Malaysia

Malaysia ada potensi lepasi sasaran KDNK 3-4%

POTONGAN cukai sudah pasti membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi negara berpotensi melepasi sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga hingga empat peratus yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia bergantung kepada seberapa luas dan seberapa cepat ekonomi dapat dibuka pada suku terakhir tahun ini.

Kata beliau, potensi untuk mengatasi sasaran pertumbuhan itu juga didorong oleh harga komoditi seperti minyak, gas, minyak sawit dan getah yang kekal tinggi.

“Namun, faktor rantaian bekalan dan penularan varian baharu Covid-19 boleh menjejaskan sasaran ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengurangan unjuran KDNK dunia oleh Tabung Kewangan Dunia (IMF).

IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia sedikit berkurang berbanding jangkaan enam peratus pada Julai lalu disebabkan risiko berkaitan hutang, inflasi dan trend ekonomi yang mencapah akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Urusannya, Kristalina Georgieva berkata, ekonomi dunia akan meningkat tetapi pandemik terus mengehadkan pemulihan dengan halangan terbesar datang dari jurang vaksinasi yang menyebabkan banyak negara ketinggalan dari segi akses kepada vaksin Covid-19.

Kata beliau, laporan Unjuran Ekonomi Dunia yang akan diterbitkan minggu hadapan menjangkakan negara maju akan kembali kepada tahap output ekonomi sebelum pandemik menjelang tahun hadapan tetapi kebanyakan ekonomi membangun dan baru muncul memerlukan banyak tahun lagi untuk pulih.

“Kita berhadapan pemulihan global yang kekal pincang akibat pandemik dan kesannya. Kita tidak mampu mara ke hadapan dengan baik, seperti berjalan dengan batu di dalam kasut,” katanya seperti dipetik Reuters.

Ahmed Razman menjelaskan, kerajaan harus mengambil maklum faktor-faktor yang disebut IMF yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara dan pada masa sama mengambil kira faktor rantaian bekalan dan varian baharu Covid-19.

Jelasnya, kerisauan IMF mempunyai asas namun beliau lebih melihat cabaran kepada ekonomi Malaysia bukan sahaja melibatkan kepantasan membuka semula ekonomi selepas mencapai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa.

“Isu rantaian bekalan yang terjejas disebabkan banyak sektor yang ditutup sebelum ini mengambil masa untuk pulih kembali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN