
Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan diunjur mencecah 66 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala hutang statutori pada 63.4 peratus pada akhir 2022 iaitu lebih rendah daripada had 65 peratus yang diluluskan oleh Parlimen.
Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus melaksanakan langkah pengembangan fiskal dalam Bajet 2022 bagi memastikan kesejahteraan rakyat, melindungi kelangsungan perniagaan dan merangsang semula ekonomi.
“Oleh itu, keperluan pinjaman kasar termasuk peruntukan tambahan bagi Kumpulan Wang Covid-19 dijangka kekal signifikan sekitar 12 peratus kepada KDNK, malah strategi pinjaman akan terus mengutamakan terbitan pasaran domestik selepas mengambil kira kecairan dalam pasaran yang mencukupi bagi mengimbangi kos pembiayaan dengan pendedahan risiko yang munasabah dalam jangka masa sederhana.
“Komposisi instrumen dan konvensional dan patuh syariah akan diagihkan kepada pelbagai tempoh matang bagi memastikan keseimbangan spektrum kematangan sekuriti, dasar akomodatif, ketersediaan pasaran domestik yang kukuh dan kepelbagaian asa pelabur akan terus menyokong keperluan pembiayaan kerajaan,” demikian menurut laporan itu.
Selain itu, laporan itu menyatakan, berlaku peningkatan hutang luar kepada RM1.02 bilion atau 67.4 peratus kepada KDNK sehingga akhir Jun tahun ini disebabkan peningkatan pinjaman luar pesisir oleh sektor awam dan pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit yang lebih besar oleh bukan pemastautin.
Laporan itu menyatakan pinjaman luar pesisir kekal sebagai komponen terbesar hutang luar berjumlah RM589.5 bilion atau 57.8 peratus berikutan terbitan sukuk global oleh kerajaan, bon dan sukuk mata wang asing oleh syarikat awam, manakala pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit dan deposit oleh bukan pemastautin mencatat RM338.4 bilion atau 33.2 peratus.
“Dari aspek profil kematangan, hutang luar berjangka sederhana dan panjang meliputi 62.2 peratus daripada jumlah hutang luar yang mencerminkan risiko pembiayaan semula yang rendah.
“Hutang luar berjangka pendek pula meliputi 37.8 peratus disandar kepada rizab antarabangsa yang mencukupi, disamping risiko luaran juga dapat ditangani dengan ketersediaan aset luaran dan terimaan eksport yang besar,” kata laporan itu.
Semenatara itu, laporan itu menambah, hutang sektor awam yang merangkumi obligasi hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, syarikat awam bukan kewangan (SABK) dan hutang badan berkanun yang dijamin kerajaan pula meningkat kepada RM1,355 bilion atau 89.5 peratus kepada KDNK.
Menurut laporan itu, ini disebabkan oleh peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan berikutan pinjaman yang perlu dibuat untuk membiayai defisit, pakej rangsangan dan bantuan Covid-19 yang diumumkan tahun lepas.
“Hutang Kerajaan Persekutuan kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 70.7 peratus daripada jumlah hutang sektor awam diikuti oleh SABK (22.9 peratus) dan hutang badan berkanun yang dijamin kerajaan (6.4 peratus).
“Peningkatan bersih hutang SABK kepada RM 309.9 bilion disebabkan oleh pengeluaran pinjaman untuk projek infrastruktur sedia ada dan terbitan bon di luar negeri oleh syarikat awam.
“Hutang badan berkanun juga meningkat kepada RM86.7 bilion berikutan pertambahan pinjaman yang dijamin kerajaan yang diperoleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) bagi tujuan pelaburan dan pembiayaan semula hutang yang matang,” kata laporan tersebut.
Hutang luar 2020-2021
| Komponen | RM JUTA | BAHAGIAN (%) | BAHAGIAN KEPADA KDNK (%) | |||
| 2020 | 2021 | 2020 | 2021 | 2020 | 2021 | |
| Pinjaman luar pesisir | 559,560 | 589,479 | 58.4 | 57.8 | 39.5 | 38.9 |
| Hutang jangka sederhana dan panjang | 360,997 | 382,627 | 37.7 | 37.5 | 25.5 | 25.3 |
| Sektor awam | 143,934 | 164,736 | 15.0 | 16.2 | 10.2 | 10.9 |
| Kerajaan Persekutuan | 23,672 | 28,415 | 2.5 | 2.8 | 1.7 | 1.9 |
| Syarikat awam | 120,262 | 136,321 | 12.5 | 13.4 | 8.5 | 9.0 |
| Sektor swasta | 217,063 | 217,890 | 22.7 | 21.3 | 15.3 | 14.4 |
| Hutang jangka pendek | 198,563 | 206,853 | 20.7 | 20.3 | 14.0 | 13.6 |
| Pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin | 220,103 | 244,828 | 23.0 | 24.0 | 15.5 | 16.2 |
| Hutang jangka sederhana dan panjang | 210,811 | 233,045 | 22.0 | 22.8 | 14.9 | 15.4 |
| Kerajaan Persekutuan | 200,060 | 220,612 | 20.9 | 21.6 | 14.1 | 14.6 |
| Lain-lain
(termasuk sektor swasta dan syarikat awam) |
10,751 | 12,434 | 1.1 | 1.2 | 0.8 | 0.8 |
| Hutang jangka pendek | 9,292 | 11,782 | 1.0 | 1.2 | 0.6 | 0.8 |
| Deposit bukan pemastautin | 94,497 | 93,542 | 9.8 | 9.1 | 6.7 | 6.2 |
| Lain-lain
(termasuk kredit perdagangan, peruntukan Hak Pengeluaran Khas IMF dan lain-lain) |
83,983 | 92,816 | 8.8 | 9.1 | 5.9 | 6.1 |
| Jumlah | 958,144 | 1,020,665 | 100.0 | 100.0 | 67.6 | 67.4 |
2021 – sehingga akhir Jun
Nota: Angka tidak semestinya terjumlah disebabkan pembundaran
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022
Hutang Sektor Awam 2020 – 2021
| Komponen | RM JUTA | BAHAGIAN (%) | BAHAGIAN KEPADA KDNK (%) | |||
| 2020 | 2021 | 2020 | 2021 | 2020 | 2021 | |
| Kerajaan Persekutuan | 879,560 | 958,388 | 70.1 | 70.7 | 62.1 | 63.1 |
| Dalam negeri | 851,284 | 924,784 | 67.8 | 68.2 | 60.1 | 61.1 |
| Luar pesisir | 28,276 | 33,604 | 2.3 | 2.5 | 2.0 | 2.2 |
| Badan Berkanun | 80,660 | 86,735 | 6.4 | 6.4 | 5.7 | 5.7 |
| Dalam negeri | 80,660 | 86,735 | 6.4 | 6.4 | 5.7 | 5.7 |
| antaranya: Dijamin | 80,660 | 86,735 | 6.4 | 6.4 | 5.7 | 5.7 |
| Luar pesisir | 80,660 | 86,735 | 6.4 | 6.4 | 5.7 | 5.7 |
| Syarikat awam bukan kewangan | 294,875 | 309,948 | 23.5 | 22.9 | 20.8 | 20.5 |
| Dalam negeri | 181,809 | 180,440 | 14.5 | 13.3 | 12.8 | 11.9 |
| antaranya: Dijamin | 181,809 | 180,440 | 14.5 | 13.3 | 12.8 | 11.9 |
| Luar pesisir | 113,066 | 129,508 | 9.0 | 9.6 | 8.0 | 8.6 |
| antaranya: Dijamin | 25,106 | 26,510 | 2.0 | 2.0 | 1.8 | 1.8 |
| Jumlah | 1,255,095 | 1,355,071 | 100.00 | 100.0 | 88.6 | 89.5 |
2021 – sehingga akhir Jun
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022










