
Penggunaan swasta pada tahun ini dijangka meningkat sebanyak 4.1 peratus disokong oleh langkah-langkah bantuan dan rangsangan ekonomi berterusan oleh kerajaan.
Peningkatan itu terutama didorong oleh subsidi upah, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), moratorium bersasar, Bantuan Khas Covid-19 serta pengeluaran i-Sinar dan i-Citra.
Laporan Tinjauan Ekonomi 2022 menyatakan, penggunaan swasta antara lain terus menjadi penentu pertumbuhan yang signifikan dan berkembang sebanyak 4.3 peratus pada separuh pertama 2021.
Pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna berikutan pemulihan pasaran buruh secara beransur-ansur, kadar faedah yang akomodatif, harga komoditi yang menggalakkan serta pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang berterusan.
“Selain itu, penggunaan swasta turut diunjur meningkat sebanyak 3.9 peratus pada separuh kedua tahun sama berikutan pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat,” kata laporan itu.
Sementara itu, pelaburan swasta dijangka turut meningkat sebanyak 8.8 peratus pada separuh pertama 2021 disokong oleh langkah berterusan kerajaan bagi memastikan persekitaran kondusif untuk pelaburan sektor swasta dan kesan limpahan berikutan penyambungan semula infrastruktur strategik.
Katanya, secara keseluruhan, pelaburan swasta pada 2021 juga dijangka kembali pulih kepada 1.4 peratus meskipun diramalkan menguncup 6.5 peratus pada separuh kedua 2021 berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa.
“Di samping itu, Unit Penyelarasan dan Kemajuan Projek (PACU) dan Pusat Sehenti untuk pengunjung perniagaan telah ditubuhkan bagi mempercepat kelulusan permohonan pelaburan dan memudahkan kemasukan pelabur ke negara ini,” katanya. – UTUSAN










