Kwasa Land, Gagasan Nadi Cergas bina rumah mampu milik di Kwasa Damansara - Utusan Malaysia

Kwasa Land, Gagasan Nadi Cergas bina rumah mampu milik di Kwasa Damansara

LAKARAN artis projek rumah mampu milik yang bakal dibangunkan oleh Kwasa Land dengan kerjasama Gagasan Nadi Cergas di Kwasa Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selaku pemaju utama perbandaran Kwasa Damansara, akan bekerjasama dengan Gagasan Nadi Cergas Berhad (Gagasan Nadi Cergas) untuk membangunkan fasa pertama projek perumahan mampu milik Rumah Selangorku (RSKU) jenis Idaman di Kwasa Damansara.

Melalui kerjasama itu, dua plot kediaman berstatus pegangan bebas iaitu Plot R4-1 dan R4-2 berkeluasan 39.12 ekar telah dikenal pasti untuk pembinaan 3,990 unit RSKU Idaman dengan Fasa 1 dijangka siap pada akhir 2024.

Nilai Pembangunan Kasar projek ini dianggarkan berjumlah RM1 bilion dan setiap fasa dijangka mengambil masa 36 bulan untuk dibangunkan.

Setiap unit akan mengandungi 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi merangkumi keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan RM250,000.

Bagi meringankan masalah kesukaran mendapatkan pinjaman dan menyediakan wang pendahuluan, sebanyak 130 unit diperuntukkan kepada pembeli-pembeli yang layak menerusi Skim Smart Sewa oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), jelas syarikat itu.

Pengarah Urusan Kwasa Land, Adenan Md. Yusof berkata, walaupun industri berhadapan dengan prospek ekonomi dan pasaran yang mencabar, permintaan untuk rumah mampu milik di kawasan bandar masih tinggi.

Beliau berkata, objektif syarikat adalah membangunkan perbandaran lestari yang hijau, mudah diakses dan inklusif.

“Memang tidak dapat disangkal bahawa pandemik ini telah memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat, justeru langkah menyediakan perumahan mampu milik akan disegerakan dan diberi keutamaan bagi meringankan beban rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Peranan kami ialah menyediakan perumahan mampu milik di Kwasa Damansara. Secara keseluruhannya, Kwasa Land akan memperuntukkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pembangunan kediamannya untuk pembinaan rumah mampu milik dengan menawarkan kawasan tanah perumahan prima kepada rakan pemaju pada nilai lebih rendah daripada harga pasaran agar kos pembangunan dapat dikurangkan dan membolehkan rakan pemaju menjual unit dengan harga yang kompetitif dan berpatutan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Adenan, bersama Gagasan Nadi Cergas yang terbukti berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam pembinaan kediaman mampu milik, Kwasa Land komited untuk terus menyokong dasar Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya pembeli rumah pertama untuk memiliki kediaman berkualiti.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, Gagasan Nadi Cergas telah berjaya membuktikan kebolehannya sebagai pakar dalam pembinaan perumahan mampu milik dalam industri hartanah.

“Tawaran nilai kami sebagai kontraktor yang berdaya saing dari segi kos telah membantu kami memenangi projek rumah mampu milik dari pemaju hartanah yang masyhur termasuk Kwasa Land.

“Kami berkongsi visi Kwasa Land untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti tinggi bagi orang ramai.

“Ini selaras dengan komitmen kami untuk menyokong kerajaan dalam merapatkan jurang rumah mampu milik di Malaysia. Ini amat penting ketika negara kita sedang berdepan dengan impak pandemik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN