Bangunkan pusat sukan lasak di Pengerang
KOTA TINGGI: Koperasi Perniagaan Guru-Guru Muar Berhad (KPGGMB) bersedia untuk melabur sehingga RM2 juta bagi mewujudkan pusat sukan lasak Pengerang bersama pihak Goter Aqua X Sdn. Bhd.
Pengerusi KPGGMB, Abd. Fadzil Husein berkata, pembinaan pusat sukan berkenaan secara tidak langsung bakal merancakkan lagi industri pelancongan sedia ada di kawasan itu.
Katanya, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama syarikat tersebut, ia dilihat sebagai situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
“Kami ada kekuatan (kewangan) tetapi ia perlu digarapkan dengan usahasama seperti ini kerana kami tidak ada kemahiran tetapi syarikat Goter Aqua X ada kemahiran, jadi melalui kekuatan bersama ini kita dapat jana pendapatan dengan pelaksanaan projek berkenaan.
“Tambahan pula kami sering bersama dengan anak didik kami di sekolah, maka dalam kalangan pelajar secara tidak langsung kelak mereka boleh terlibat sama dengan aktiviti yang dijalankan dan boleh menjadi satu sukan yang akan diminati.
“Anggaran pelaburan mengikut pada peringkat-peringkatnya dan dianggarkan melibatkan kos RM1 juta hingga RM2 juta bergantung permintaan. Maka, MoU ini sebagai tanda tunjuk minat kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU itu sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Goter Aqua X, Kapten Mohamad Hafiz Husein berkata, pihaknya memfokuskan kepada dua pembangunan sukan iaitu di air dan darat.
Katanya, antara aktiviti sukan yang telah dan akan dibangunkan bertapak di Amerald Resort Hotel Sungai Rengit itu adalah seperti go-kart, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), jet ski, basikal, banana boat dan lain-lain lagi.
“Kita juga merupakan syarikat pertama yang menggunakan go-kart elektrik di Malaysia yang tidak menggunakan enjin, lebih senyap, tiada asap dan tidak mencemarkan alam sekitar.
“Kesemua aktiviti ini amat sesuai untuk kanak-kanak pada peringkat umur satu, dua tahun hingga dewasa. Team building juga antara termasuk dalam perancangan kami di sini yang telah ada namun terhenti ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita yakin pelaburan ini akan merancakkan lagi pelancongan di Pengerang. Lebih-lebih lagi apabila sempadan Singapura dibuka yang sudah pasti akan menarik lebih ramai pengunjung melalui aktiviti ditawarkan,” katanya. – UTUSAN











