[Laporan Ekonomi] Kerajaan langsai RM12.8 bilion hutang 1MDB - Utusan Malaysia

[Laporan Ekonomi] Kerajaan langsai RM12.8 bilion hutang 1MDB

SEHINGGA akhir Jun 2021, baki hutang 1MDB kekal pada RM32 bi­lion manakala aset bernilai RM18.2 bilion berkaitan syarikat itu telah disita. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan Persekutuan telah menjelaskan sebanyak RM12.8 bilion komitmen kewangan dan bayaran khidmat hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga September 2021.

Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi 2022, hampir RM10 bilion daripada jumlah itu dijelaskan melalui pinjaman dan pendahuluan daripada Kerajaan atau Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala bakinya menggunakan Akaun Amanah.

“Baki Akaun Amanah selepas mengambil kira pendapatan simpanan (hibah) adalah berjumlah RM15.3 bilion dan mampu membiayai obligasi 1MDB sehingga tahun hadapan.

“Baki obligasi keseluruhan 1MDB berjumlah RM39.3 bilion merangkumi prinsipal RM32.2 bilion dan faedah atau bayaran keuntungan atas pembiayaan (RM7.1 bilion),” kata laporan itu.

Syarikat 1MDB ditubuhkan sebagai syarikat MKD pada 2009 bagi memacu pembangunan strategik negara. Bagaimanapun, kebergantungan tinggi ke atas modal hutang serta tadbir urus korporat yang lemah menyebabkan syarikat mengalami masalah aliran tunai bermula hujung 2014 dan seterusnya serta memerlukan bantuan kerajaan.

Sehingga akhir Jun 2021, baki hutang 1MDB kekal pada RM32 bilion manakala aset bernilai RM18.2 bilion berkaitan syarikat itu telah disita atau diperoleh semula dan diletakkan di dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah kawalan Jabatan Akauntan Negara.

Mengulas lanjut, laporan itu menyentuh liabiliti kewangan lain kerajaan termasuk komitmen di bawah projek perkongsian awam-swasta (PPP), inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta pembiayaan yang diterbitkan oleh PBLT Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek infrastruktur Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Liabiliti di bawah projek PFI adalah dalam bentuk pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi memudah cara pelaksanaan projek pembangunan, infrastruktur termasuk pembinaan dan pembaikan sekolah, hospital universiti dan pusat latihan serta penyelenggaraan bangunan kerajaan.

Syarikat PLBT pula ditubuhkan pada 2005 dengan pemilikan penuh MKD bagi mendapatkan pembiayaan dan seterusnya melaksanakan projek infrastruktur termasuk pembinaan kuarters, balai polis, pusat latihan dan fasiliti lain untuk kegunaan pasukan polis.

“Terdapat projek yang dilaksanakan di bawah pendekatan PPP melibatkan tanggungan fiskal oleh kerajaan manakala sebahagian projek lain dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta. Sehingga akhir Jun 2021, satu projek baharu telah ditambah di bawah senarai PPP iaitu sistem pengurusan tanah secara elektronik (e-Tanah) bagi negeri Perak dengan komitmen berjumlah RM249 juta sehingga 2032,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN