Keluarga nelayan Pulau Pinang Selatan harapkan kemajuan, kesenangan melalui PSR - Utusan Malaysia

Keluarga nelayan Pulau Pinang Selatan harapkan kemajuan, kesenangan melalui PSR

PASANGAN ibu dan anak dari Sungai Baru, Che Muni Che Lah (kanan) dan Muhd. Fiqdaus Iqmal Zubir gembira pembangunan PSR juga memberi peluang latihan kepada nelayan dan anak nelayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Keluarga nelayan di sini berharap, pelaksanaan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) akan membawa peluang-peluang dan masa depan yang lebih baik bagi mereka dan generasi muda.

Walaupun pelaksanaan PSR kini menghadapi cabaran mendapat kelulusan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang baharu, mereka tetap berharap projek tersebut akan mendatangkan manfaat-manfaat yang telah dijanjikan oleh kerajaan negeri yang merupakan pemilik projek.

Kemajuan nelayan

Nelayan Gertak Sanggul, Rozali Yob berkata, dia percaya PSR akan dijalankan dan menegaskan ,projek tersebut harus membawa manfaat kepada komuniti nelayan.

“Saya cuma berharap projek ini boleh membawa kemajuan kepada nelayan. Bantuan untuk nelayan perlu ada seperti ex-gratia, bot dan enjin, seperti yang telah dijanjikan.

“Pemberian ini akan membantu nelayan,” katanya yang mula menangkap ikan sejak berusia 12 tahun.

Bantuan yang disebut oleh Rozali adalah antara manfaat untuk nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan yang sedang diaturkan oleh kerajaan negeri di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek PSR.

Antara lain, kerajaan negeri berhasrat memberi bot baharu dan enjin berkuasa tinggi kepada tekong dari unit nelayan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Selain itu, empat unit nelayan terbabit juga dilaporkan akan mendapat jeti nelayan baharu.

Rozali berkata, dia juga ada mendengar tentang rancangan membina jeti baharu itu.

“Saya berharap jeti baharu itu akan dilengkapi kemudahan yang akan memudahkan urusan bagi nelayan,” tambahnya.

ROZALI Yob (sedang menyidai baju) dan isterinya, Roslina Hamid berharap PSR akan membawa pembangunan untuk nelayan di kawasan PSR.

Isterinya, Roslina Hamid, 52, juga berharap anak bongsu mereka yang menunjukkan minat menjadi nelayan akan mendapat manfaat daripada pembangunan PSR.

Pasangan tersebut mempunyai empat anak dengan anak sulung dan anak ketiga mereka bekerja di kilang, manakala anak kedua yang bekerja sebagai formen berminat menyertai tentera.

Hanya anak bongsu yang kini berusia 15 tahun, berminat mengikut jejak langkah bapanya.

“Dia baru mula belajar menjadi nelayan. Jadi, saya berharap dia juga akan mendapat manfaat (daripada SIMP),” kata Roslina.

Peningkatan kemahiran untuk nelayan muda

Bagi Che Muni Che Lah, 49, dari Sungai Batu pula, manfaat SIMP akan dirasai anak bongsunya tidak lama lagi.

Anak bongsunya, Muhd. Fiqdaus Iqmal Zubir, 21, akan mengikuti kursus jurumudi yang akan ditawarkan di bawah SIMP yang dijangka bermula sebelum akhir tahun ini.

Dengan lesen jurumudi yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia, Muhd Fiqdaus Iqmal boleh menawarkan perkhidmatan pengangkutan bot dan membawa penumpang pada masa hadapan.

“Saya berminat mendapatkan lesen jurumudi. Sekarang saya hanya dapat membawa bot untuk menangkap udang.

“Saya gembira dipilih untuk mengikuti kursus,” kata anak muda yang belajar membawa bot dan menangkap ikan daripada bapanya yang bekerja sebagai nelayan.

Tawaran program latihan dan peningkatan kemahiran seperti kursus jurumudi adalah antara manfaat SIMP untuk nelayan, anak nelayan dan penduduk setempat yang berminat.

Che Muni berkata, dia juga teruja Muhd Fiqdaus Iqmal menjadi antara 10 orang pertama yang dipilih untuk mengikuti kursus tersebut.

“Saya gembira dia berjaya dipilih kerana dia memang berminat bekerja di laut. Kerana minatnya, dia boleh membuat pukat dan membaiki enjin bot.

“Jadi saya berharap lesen jurumudi ini akan memberikannya peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Che Muni yang mempunyai lima anak berusia 21 tahun hingga 31 tahun dan empat cucu berkata, dia berharap projek PSR boleh membawa masa depan yang lebih baik kepada generasi akan datang.

“Saya berharap projek itu akan membawa kesenangan kepada generasi muda. Kalau projek itu mahu ambil tukang masak, carilah saya,” kata peniaga kecil-kecilan yang menjual ikan dan kuih-muih berkenaan.

Masa depan lebih baik untuk nelayan, bukan nelayan

Bekas nelayan Sungai Batu, Roslin Hashim, 60, berkata, mereka yang menyokong PSR lebih ramai daripada yang membantah berdasarkan pemerhatian dan perbualannya dengan penduduk di kawasannya.

“Ada yang bersetuju dan ada yang membantah tetapi setahu saya, yang bersetuju dengan projek itu lebih ramai.

“Nelayan veteran sebenarnya menunggu insentif yang akan ditawarkan oleh projek kerana apa yang ditawarkan adalah bagus,” katanya.

BEKAS nelayan, Roslin Hashim berpendapat manfaat yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk komuniti nelayan di kawasan PSR adalah munasabah.

Roslin berkata, nelayan tidak akan kehilangan mata pencarian dan masih boleh meneruskan pekerjaan mereka semasa penambakan berjalan kerana kawasan penangkapan ikan adalah luas.

Tambah Roslin, sekiranya nelayan tidak diberi apa-apa dalam projek tersebut, dia juga akan menyertai kumpulan yang membantah PSR kerana kerajaan negeri gagal membuat perancangan untuk membantu mereka yang mahu terus menjadi nelayan.

“Tetapi hakikatnya, kerajaan negeri telah menawarkan insentif yang bagus kepada nelayan, tidak kira mereka bersetuju atau tidak dengan pelaksanaan PSR.

“Pada saya, PSR adalah untuk masa depan nelayan pantai walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak bersetuju. Kita harus membuka minda,” katanya.

Roslin bertegas tanpa PSR, kawasan Pulau Pinang Selatan dan masyarakat tempatan akan sukar mendapat peluang untuk maju.

“Kalau kita tidak teruskan projek ini, kita akan kekal macam ini sahaja. Ramai di sini mengharapkan PSR kerana menantikan peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Dia menambah, pembinaan pulau-pulau buatan itu juga akan melindungi kawasan pesisir pantai dan bot nelayan daripada pukulan ombak besar.

Roslin yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kargo dan kren untuk beberapa tahun berkata, dia ingin melihat PSR menjadi kenyataan dengan mata sendiri kerana berharap anak, cucu dan cicitnya boleh mendapat pekerjaan di pulau-pulau buatan tersebut pada masa hadapan.

“Dua anak saya bekerja di kilang. Mungkin mereka dan cucu cicit saya juga berpeluang bekerja di kilang-kilang baharu yang akan dibuka di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, pelaksanaan PSR adalah untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi negeri dan tidak bertujuan menyusahkan nelayan atau menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan.

Malah tambah beliau, pelaksanaan projek akan membawa pembaikan dan pembaharuan kepada komuniti tersebut dan kawasan Pulau Pinang Selatan.

Farizan berkata, walaupun PSR masih belum boleh dilaksanakan kerana perlu mendapatkan kelulusan laporan EIA semula, kerajaan negeri masih bersedia mengatur bagi menyampaikan sesetengah manfaat SIMP kepada nelayan dan penduduk setempat, seperti kursus kemahiran dan program latihan.

“Untuk memberi sokongan pendidikan kepada anak nelayan, kami juga sedang meneliti program tuisyen percuma untuk anak nelayan, khususnya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Farizan berkata, kerajaan negeri sedang membuat perancangan dan persediaan untuk mengemukakan semula laporan EIA untuk mendapat kelulusan.

Apabila kelulusan diperolehi kelak jelas beliau, kerajaan negeri akan mengumumkan lebih banyak manfaat dan melaksanakan program serta inisiatif yang memberi faedah kepada nelayan dan penduduk setempat termasuk kepada pelajar.

Awal bulan ini, dilaporkan seorang nelayan Permatang Tepi Laut, Fajinah Jaafar telah menyerahkan 1,521 tandatangan sokongan daripada penduduk kawasan Pulau Pinang Selatan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk menggesa kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan PSR.

Antara mereka yang memberi tandatangan secara bertulis adalah 435 orang nelayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya