PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Penerbangan Emirates (EAU) bagi meningkatkan kemahiran dan bakat dalam industri penerbangan di
Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menerusi kerjasama tersebut, HRD Corp dan EAU akan memberikan komitmen untuk berkongsi pengetahuan dalam industri penerbangan di kedua-dua negara.
“Ini termasuk membangunkan kurusu kemahiran dan program akademik bidang penerbangan yang boleh diterima pakai di kedua-dua buah negara,” kata HRD Corp dalam satu kenyataan.
Di samping itu, jelasnya, HRD Corp dan EAU juga akan bekerjasama dalam projek penyelidikan dan pembangunan yang mampu memberi manfaat kepada sektor penerbangan di Malaysia dan Asia Barat untuk jangka panjang.
MoU tersebut ditandatangani di kampus EAU di Bandar Akademik Antarabangsa Dubai oleh Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Naib Canselor EAU, Profesor Ahmad Al Ali dengan disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Pengurus Usahasama EAU, Robert Johnson.
Tambah HRD Corp, ia merupakan kerjasama antarabangsa pertama sejak penubuhannya pada 1993.
“Kolaborasi ini juga melambangkan permulaan baharu bagi organisasi setelah penjenamaan semula daripada Human Resource Development Fund (HRDF) pada tahun ini, yang mana ia sedang menuju ke arah pengantarabangsaan yang lebih besar untuk manfaat para majikan, pekerja dan penyedia latihan yang berdaftar,” jelasnya.
Tambah HRD Corp, kerjasama seperti itu juga akan membuka lebih banyak pasaran kepada penyedia latihan HRD Corp apabila mereka kini boleh menawarkan kursus kepada pelatih dan organisasi di luar negara.
“Di samping itu, HRD Corp juga kini dapat meletakkan penanda aras terhadap pembangunan modal insan di Malaysia berpandukan organisasi yang telah berjaya di seluruh dunia,” tambahnya. – UTUSAN










