PETALING JAYA: Eksport bulanan Malaysia untuk September mencatat nilai tertinggi baharu pada RM110.8 bilion, meningkat 24.7 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia merupakan peningkatan tahun ke tahun untuk bulan ke-13 berturut-turut sejak September 2020.
Kata beliau, peningkatan itu disokong oleh eksport domestik yang berjumlah RM87.7 bilion dan menyumbang 79.1 peratus kepada jumlah eksport serta eksport semula dengan jumlah RM23.2 bilion, naik 34.1 peratus tahun ke tahun.
“Import Malaysia pada September berjumlah RM84.7 bilion, terus mencatatkan pertumbuhan 26.5 peratus atau RM17.7 bilion berbanding bulan sama pada 2020. Lebihan dagangan berkembang 19.1 peratus kepada RM26.1 bilion.
“Seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi domestik kesan daripada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan pertumbuhan kukuh, masing-masing 16 peratus, 14.2 peratus, 15.2 peratus dan 22.2 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Jabatan Perangkaan, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM4 bilion); China (+RM3 bilion); Amerika Syarikat (+RM2 bilion); Indonesia (+RM1.7 bilion); India (+RM1.4 bilion); Hong Kong (+RM1.1 bilion) dan Jepun (+RM879.4 juta).
Sementara itu, katanya, China terus menjadi penyumbang utama kenaikan import (+RM4.6 bilion); diikuti Singapura (+RM2.1 bilion); Kesatuan Eropah (+RM1.9 bilion); Indonesia (+RM1.6 bilion); Taiwan (+RM1.5 bilion); Amerika Syarikat (+RM1 bilion) dan Republik Korea (+RM930.7 juta).
“Peningkatan eksport didorong keluaran petroleum (+RM5.6 bilion); barangan perkilangan logam (+RM3.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.8 bilion); barangan elektrik dan elektronik (+RM2.2 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM1.7 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.2 bilion); barangan besi dan keluli (+RM1.1 bilion) serta gas asli cecair (+RM1.1 bilion).
“Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM6.4 bilion); keluaran petroleum (+RM4 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.1 bilion) serta petroleum mentah (+RM755.1 juta),” katanya. – UTUSAN










