DHL Express labur RM200 juta - Utusan Malaysia

DHL Express labur RM200 juta

MAJLIS pecah tanah DHL Kuala Lumpur Gateway di KLLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa, DHL Express bakal untuk membina pintu laluan pengisihan jenis automatik penuh pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menerusi pelaburan sebanyak RM200 juta.

Pembinaan kemudahan ter­sebut terletak di Terminal Kargo Udara KLIA 1 (KACT1) dengan keluasan 13,422 meter persegi serta dijangka siap menjelang suku pertama 2023.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, fasiliti itu bukan sahaja akan menambah saiz kelengkapan DHL Express sedia ada di Kuala Lumpur sebanyak tiga kali ganda, bahkan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran seba­nyak lebih 400 peratus.

“Kemudahan ini akan dilengkapi dengan sistem pengisihan automatik yang boleh mengendalikan 10,000 bungkusan sejam, 24 jam sehari berbanding dengan 2,400 bungkusan sejam buat masa ini.

“Ia akan menjadi kemudahan pengisihan automatik kedua dalam rangkaian Asia Tenggara DHL Express selepas Singapura,” katanya berucap pada majlis pecah tanah DHL Kuala Lumpur Gateway di sini semalam.

Perasmian majlis tersebut turut disempurnakan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Dalam pada itu, Julian berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini selain sebelum pandemik Covid-19, DHL Express telah menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah import dan eksport di Malaysia.

“Pintu laluan pengisihan automatik penuh akan memboleh­kan kami menampung pertumbuhan jumlah penghantaran dan bungkusan yang dipacu lonjakan e-dagang ren­tas sempadan, sekali gus membantu kami terus memenuhi peningkatan permintaan pengguna Malaysia terhadap perkhid­matan logistik yang cekap.

“Selain itu, ia berperanan penting dalam menyokong iltizam berterusan kami untuk memposisikan Malaysia sebagai antara penggiat logistik utama di rantau ini serta me­ngukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan rangkaian logistik global,” katanya.

Sementara itu, Isham berkata, pelaburan DHL Express bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi negara malah, turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu terutama dalam bidang pengurusan logistik.

“Infrastruktur 5G dalam proses dilebarkan di seluruh negara dengan 80 peratus kawasan di Malaysia akan mendapat liputan 5G menjelang 2024. Jadi ini akan membantu dan memberi manfaat kepada syarikat yang menggunakan teknologi tinggi seperti DHL.

“Malah ia juga dapat me­nguruskan data lebih tinggi yang boleh digunakan oleh DHL. Bagaimanapun ini tidak bermaksud rakyat akan kehilangan kerja tetapi ia membantu mewujudkan pekerjaan dalam bidang logistik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×