Bursa Malaysia catat untung bersih RM290.3 juta - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia catat untung bersih RM290.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM290.3 juta untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2021, meningkat 6.4 peratus berbanding RM272.9 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut didorong hasil operasi yang lebih tinggi, dengan peningkatan sebanyak 6.5 peratus kepada RM590 juta daripada tempoh yang sama sebelumnya.

Bursa Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, dalam tempoh sama, Pasaran Sekuriti mendaftarkan hasil dagangan sebanyak RM359.9 juta berbanding RM349.2 juta pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, pendapatan sesaham (EPS) bagi tempoh di bawah semakan adalah 35.9 sen berbanding 33.7 sen tahun sebelumnya.

“Yuran Perkhidmatan Penyelesaian Institusi yang lebih tinggi antara penyumbang kepada pertumbuhan, di samping hasil bukan dagangan daripada perkhidmatan penyenaraian dan penerbit yang mencatatkan peningkatan kepada RM52.3 juta pada September tahun ini berbanding RM40.1 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

“Aliran pendapatan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan termasuk perkhidmatan depositori, data pasaran dan perkhidmatan ahli dan ketersambungan,” menurut kenyataan itu.

Dalam Pasaran Derivatif, harga kontrak penanda aras global FCPO mencapai sejarah tertinggi pada RM5,071 baru-baru ini, didorong oleh tekanan bekalan dalam pasaran minyak sawit dan permintaan kukuh untuk minyak sawit daripada pedagang asing utama di India dan China.

Jumlah purata kontrak harian (ADC) untuk Pasaran Derivatif meningkat 3.3 peratus kepada 76,836 kontrak dalam sembilan bulan ini berbanding 74,408 kontrak dalam tempoh sama 2020.

Hasil dagangan derivatif bagaimanapun menurun sebanyak 4.9 peratus kepada RM65.8 juta tahun ini daripada RM69.2 juta tahun lalu, terutama disebabkan perolehan yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah selepas pengurangan kadar kepada 0.5 peratus berkuat kuasa Julai 2020 dan kemerosotan kontrak FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) yang didagangkan sehingga September 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, walaupun petunjuk ekonomi utama menunjuk ke arah prospek yang bertambah baik bagi ekonomi Malaysia, perkembangan berterusan wabak Covid-19 akan terus mempengaruhi turun naik dan prestasi pasaran ekuiti.

“Kami juga baru-baru ini telah melancarkan Program Insentif Perhubungan Pelabur dan Perhubungan Awam yang dijangka dapat mengekalkan penyertaan runcit dan menarik pelabur institusi melalui perhubungan pelabur yang lebih aktif.

“Selain itu, tambahan terbaharu kepada ciri aplikasi mudah alih Bursa Anywhere yang dipanggil Tawaran Am elektronik (eGO) akan memberikan kemudahan kepada pelabur runcit, menjimatkan kos dan masa.

“Walaupun menghadapi cabaran, Bursa Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus membangunkan pasaran dan mengembangkan ekosistem melalui pelbagai penawaran produk antaranya daripada kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN