PETALING JAYA: Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) telah melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2021 (BLK 2021) yang akan berlangsung sepanjang Oktober ini.
Bertemakan ‘Tentukan Hala Tuju Kewangan Anda, Jaga Diri dan Bertindak dengan Bijak’, BLK 2021 adalah berdasarkan lima strategi utama yang telah digariskan dalam strategi kebangsaan.
Antaranya, menyemai nilai murni dari usia muda, meningkatkan akses kepada maklumat, instrumen dan sumber pengurusan kewangan, memupuk tabiat kewangan yang positif dalam kalangan kumpulan sasaran khususnya belia dan golongan pekerja termasuk yang bekerja sendiri, memperkasa amalan perancangan kewangan jangka panjang dan persaraan serta mengumpul dan melindungi harta.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sepanjang bulan ini, rakyat akan dapat memanfaatkan pelbagai sumber maklumat serta aplikasi pendidikan kewangan oleh FEN dan rakan strategiknya menerusi laman web FEN, siri webinar dan pelbagai program untuk semua lapisan masyarakat.
“BLK 2021 itu akan membuka peluang kepada rakyat untuk memahami pelbagai aspek kewangan, termasuk bantuan penyelesaian masalah kewangan.
“Acara kemuncak BLK 2021, iaitu BLK 2021 Finale, akan berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2021 dan akan menawarkan pelbagai pengisian termasuk ‘Klinik Khidmat Nasihat Kewangan Secara Maya’ bersama 22 institusi perbankan di Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran BLK 2021 secara maya, semalam.
Tengku Zafrul berkata, pengurusan kewangan yang baik merupakan kemahiran hidup yang kritikal di zaman ini.
Namun, katanya, mengikut Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2018, masih ramai rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan yang rendah dalam merancang kewangan mereka.
“Peka akan realiti itu usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta yang diterajui oleh FEN giat dijalankan untuk mendidik pengguna membuat keputusan kewangan dengan lebih baik, biarpun dari segi perancangan kewangan, pelaburan atau persaraan.
“Melalui FEN juga, elemen pendidikan kewangan telah diterapkan ke dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan, termasuk pra-sekolah,” katanya.
Tengku Zafrul memberitahu, keperluan strategi itu bertambah jelas berikutan pandemik Covid-19 yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan masyarakat, malah juga telah menggugat kesejahteraan kewangan rakyat.
Beliau berkata, pengalaman selama 19 bulan lepas dalam mengharungi saat-saat getir pandemik perlu dijadikan iktibar untuk merancang kewangan dengan lebih baik.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut menekankan, rakyat perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam penipuan kewangan. – UTUSAN










