PETALING JAYA: Belanjawan 2022 yang dibentangkan hari ini amat menyeluruh dan penting, ketika negara sedang menghampiri ambang kejayaan dalam menentang pandemik, kata Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank Berhad, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow.
Katanya, seperti yang dijangka, Belanjawan 2022 yang dibentangkan hari ini amat menyeluruh dan penting, ketika negara sedang menghampiri ambang kejayaan dalam menentang pandemik.

“Kami berasa amat gembira kerana Kerajaan sekali lagi meletakkan kesejahteraan Rakyat sebagai tunjang utama dalam merangka Belanjawan 2022.
“Dengan laluan yang diperbaharui dan prospek pelaburan negara yang dimajukan semula, disokong oleh Belanjawan 2022, Kumpulan Public Bank akan terus memainkan peranan yang aktif untuk memudahkan pertumbuhan, sambil terus melibat urus dengan para pelanggan dan menyediakan bantuan yang perlu bagi memulih dan membangunkan semula negara. Ke arah tujuan ini, usaha Kerajaan yang berterusan dalam menyediakan sokongan menerusi subsidi, geran dan pelbagai langkah bantuan yang berjumlah RM31 bilion adalah amat dipuji.
“Kami menyokong Belanjawan 2022 yang mengimbangi dengan sewajarnya gabungan antara mengurangi ketidaksamaan pendapatan, memperluaskan bantuan bersasar kepada isi rumah dan perniagaan selain turut membuat pelaburan dalam penjagaan kesihatan dan infrastruktur asas.
“Antara langkah khusus itu ialah peruntukan sebanyak RM8.2 bilion bagi program Bantuan Keluarga Malaysia yang baharu diperkenalkan yang akan memanfaatkan 9.6 juta orang penerima dan peruntukan RM4.8 bilion bagi mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata beliau Belanjawan 2022 ini juga menumpukan pada masa hadapan dengan perbelanjaan yang diuntukkan bagi meningkatkan infrastruktur digital dan teknologi, selain memudahkan peralihan sektor perindustrian ke arah automasi.
Katanya, adalah penting bahawa tiada sesiapa yang tertinggal pada era pembangunan masa kini. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM30 juta bagi penyediaan akses internet kepada 40 skim perumahan kos rendah dan RM700 juta lagi bagi memastikan sambungan digital di 47 buah kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah di kawasan luar bandar amat dialu-alukan.
“Kumpulan Public Bank mengesahkan komitmennya untuk bersama-sama dengan Kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan untuk meningkatkan agenda yang mampan. Dunia telah membuat kemajuan dalam mengelakkan kesan daripada perubahan iklim, namun banyak lagi yang boleh dilakukan.
“Sikap tidak peduli akan menjadi ketidakadilan terbesar kepada generasi akan datang. Kami menyokong penuh Belanjawan 2022 ini dan melihatnya sebagai platform penting untuk memangkinkan semula pembangunan negara. Sektor swasta dan sektor awam mesti bekerjasama untuk memacu pemulihan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.










