- Utusan Malaysia
SEKTOR pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19, memerlukan pelbagai rangsangan termasuk inisiatif pengecualian cukai untuk pulih sepenuhnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan inisiatif pengecualian cukai dalam Belanjawan 2022 dapat membantu merancakkan kembali ekonomi negara selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, langkah tersebut amat baik kerana dapat memberikan pulang kepada semua pemegang taruh.

Kata beliau, pengecualian cukai boleh meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat yang akan dibelanjakan semula ke dalam ekonomi seterusnya mempercepat proses pemulihan ekonomi negara.

“Selain pelepasan cukai, penyediaan prasarana dan persekitaran yang kondusif akan merancakkan kegiatan ekonomi.

“Walaupun dilihat akan mengurangkan hasil tetapi kerancakan ekonomi sebenarnya secara agregat memberikan pulangan dan hasil yang lebih banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Baharom, sektor yang paling memerlukan bantuan, termasuk inisiatif pengecualian cukai ketika ini merupakan sektor pelancongan yang berkaitan dengannya, seperti hospitaliti dan pengangkutan.

Jelas beliau, pengecualian cukai yang tertumpu kepada pengusaha atau pengeluar dapat diberikan untuk menyokong pemulihan sektor ini.

“Namun, pengecualian cukai pendapatan harus menyeluruh kepada semua,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ruang untuk memperkenalkan insentif cukai agak terhad dalam Belanjawan 2022.

Kata beliau, ia berikutan sasaran defisit fiskal yang ditetapkan kerajaan pada 2025 iaitu antara tiga hingga lima peratus.

“Di samping itu, peruntukan perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga adalah yang tertinggi dalam sejarah. Oleh itu, sukar untuk kerajaan mengurangkan hasil kutipan.

“Pengenalan insentif cukai agak sukar untuk dilaksanakan berdasarkan sasaran untuk mengurangkan defisit fiskal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×