UPM, BAV tandatangani penjualan paten komersil vaksin kambing, biri-biri - Utusan Malaysia

UPM, BAV tandatangani penjualan paten komersil vaksin kambing, biri-biri

MAJLIS menandatangani perjanjian penjualan paten vaksin kambing dan biri-biri yang dihasilkan oleh penyelidik UPM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengkomersialkan inovasi vaksin STVac1 semburan intranasal untuk kambung dan biri-biri bagi mencegah penyakit yang menyerang paru-paru atau pneumonia pada haiwan tersebut.

Nilai jualan paten tersebut sebanyak RM4 juta dibuat kepada syarikat BIO-Angle VACS Sdn. Bhd. (BAV).

Penjualan paten Mannhemia Haemolytica Bacterial Polypeptides and Sequences, Gene Sequences and Uses Thereof (MY-176715-A) telah dimeterai melalui perjanjian tiga hala melibatkan UPM, UPM Innovation Sdn. Bhd. dan BAV, disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd. Zabri Yusoff.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman; Pengerusi BAV, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Innovations, Azrul Reza Aziz.

Mohd. Roslan berkata, permeteraian perjanjian penjualan paten itu merupakan nilai penjualan pengkomersilan tertinggi yang dicapai oleh UPM setakat ini.

“Kejayaan pengkomersilan ini adalah hasil usaha sama di antara Putra Science Park UPM dan UPM Innovations yang juga anak syarikat UPM Holdings,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, BAV kini dalam proses membina fasiliti bernilai RM8 juta untuk pengeluaran STVac7 serta fasiliti bakteria vaksin bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mampu membuat pengeluaran sehingga 300,000 botol dalam masa setahun.

“Ia telah 80 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku terakhir 2022 setelah mendapat persijilan dan akreditasi GMP daripada badan kawal selia tempatan,” katanya.

Mohd. Daud pula berkata, BAV menyasarkan sebanyak 20 juta kambing dan bebiri bersamaan satu peratus daripada jumlah populasi haiwan itu di seluruh dunia.

Melalui unjuran itu, BAV berpotensi untuk menjana pendapatan sebanyak AS$80 juta (RM335.04 juta) setahun.

“Hasil daripada kerjasama erat ini, BAV telah menandatangani perjanjian jual beli dengan dua syarikat luar negara untuk memasarkan 100,000 botol STVac7 ke China dan Nigeria. Sementara pasaran lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, Mongolia, Senegal, Indonesia, Amerika Selatan kini dalam proses penilaian serta perbincangan dan bakal dimeterai kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN