PETALING JAYA: Toyota memperkenalkan aplikasi mudah alih Bantuan Jalanan 24Seven Toyota, kemudahan yang pertama kali ditawarkan dalam industri.
Menurut Toyota, dalam kecemasan, seseorang sering merasa resah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, sama ada bantuan akan tiba atau sebaliknya.
Jelasnya, masalah itulah yang ingin ditangani oleh aplikasi mudah alih Bantuan Jalanan 24Seven Toyota.
“Ciri utama yang dibina dalam aplikasi mudah alih ini termasuk butang SOS dengan ciri pengesanan jejak masa nyata.
“Pengguna boleh menjejak laluan perjalanan dan masa bantuan akan tiba kepada mereka. Jaminan selanjutnya ialah bantuan berkenaan datangnya dari cawangan rasmi Toyota atau penyedia perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan.
Presiden UMW Toyota, Ravindran Kurusamy berkata, perkhidmatan yang diberikan adalah penambahbaikan Bantuan Jalanan 24Seven Toyota, bagi memastikan pelanggan tidak risau ketika berada di jalan raya.
“Dengan perkembangan teknologi mudah alih yang semakin maju, langkah seterusnya bagi kami adalah untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih yang membawa servis ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Bantuan Jalanan 24Seven Toyota menawarkan baik pulih minor di lokasi serta khidmat tundaan (hingga 50 kilometer) kepada pemilik kenderaan Toyota (tertakluk kepada terma dan syarat).
Jelas Toyota, pemilik kenderaan mampunyai pilihan untuk mendapatkan bantuan dari cawangan Toyota kegemaran mereka bagi servis semua yang ditawarkan 24 jam sehari, 7 hari seminggu, sepanjang tahun di seluruh negara. – UTUSAN










