PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Julai lalu merosot sebanyak 14.7 peratus kepada RM92.7 bilion, penurunan dua digit selama dua bulan berturut-turut, kesan daripada perintah kawalan pergerakan Covid-19, lapor Jabatan Perangkaan.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, subsektor kenderaan bermotor paling terkesan dengan kemerosotan sebanyak 85.4 peratus atau RM11.8 bilion untuk mencatatkan RM2 bilion.
Beliau berkata, perdagangan runcit juga turun 8.1 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM41.1 bilion, diikuti perdagangan borong yang jatuh 1.1 peratus atau RM0.5 bilion kepada RM49.5 bilion.
“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat marginal 0.5 peratus, berbanding -14.8 peratus yang dilaporkan bula lalu setelah beberapa negeri memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang membenarkan sektor ekonomi dan pengedaran terpilih untuk beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas prestasi subsektor, Mohd. Uzir berkata, penurunan 85.4 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Julai disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot 83.8 peratus atau RM6.8 bilion kepada RM1.3 bilion.
Ia diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang susut 87.4 peratus untuk merekodkan RM0.4 bilion.
Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga turun 88.7 peratus kepada RM0.2 bilion diikuti jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal susut 86.9 peratus untuk mencapai RM0.1 bilion, kata beliau.
“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini mencatatkan peningkatan yang signifikan sebanyak 118.6 peratus, disokong oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 275.1 peratus selepas ruang pemeran dan pusat jualan kenderaan dibenarkan beroperasi di negeri-negeri Fasa 2,” katanya.
Mengenai subsektor perdagangan runcit pula, beliau berkata, ia menguncup 8.1 peratus disebabkan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang merosot 10.8 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM15 bilion.
Menurut Mohd. Uzir, jualan di kedai pengkhususan juga turun 11.1 peratus kepada RM7.9 bilion, diikuti jualan runcit bahan api kenderaan susut 14.1 peratus, jualan runcit barangan isi rumah (-3.7 peratus), barangan keseniaan dan rekreasi (-4.2 peratus), makanan, minuman dan tembakau (-2.7 peratus) dan peralatan informasi dan komunikasi (-0.3 peratus).
“Walau bagaimanapun, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar serta di gerai dan pasar, masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 17.9 peratus dan 2.1 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit naik 1.4 peratus dengan kebanyakan kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya. – UTUSAN










