SOCAR meterai pelaburan RM229.57 juta - Utusan Malaysia

SOCAR meterai pelaburan RM229.57 juta

SOCAR akan menggunakan dana yang diterima bagi membantu usaha mengembangkan lagi operasi mobiliti multifleks syarikat itu di Asia Tenggara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR) memeterai perjanjian pelaburan bernilai AS$55 juta (RM229.57 juta) menerusi aktiviti pendanaan Siri B syarikat itu baru-baru ini.

SOCAR yang kini dianggarkan bernilai AS$213 juta (RM889.06 juta), bakal menerima suntikan ekuiti serta modal daripada syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, EastBridge Partners, serta pelaburan daripada syarikat multinasional Malaysia, Sime Darby Berhad (SDB).

Pelaburan tersebut menjadikan jumlah pendanaan yang diterima oleh SOCAR setakat ini sebanyak AS$73 juta (RM304.70) dan ia akan digunakan bagi membantu usaha mengembangkan lagi operasi mobiliti multifleks syarikat itu di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR, Leon Foong mengalu-alukan penyertaan rakan kongsi baharu pihaknya itu dalam usaha mengembangkan lagi operasi SOCAR bagi membawakan mobiliti multifleks ke lebih banyak lagi negara di Asia Tenggara.

“Bagi kami di SOCAR, hakikat bahawa kami berjaya menarik rakan ekuiti yang sedia bekerjasama dalam mengembangkan lagi perniagaan semasa pandemik global ini membuktikan keyakinan rakan kongsi kami terhadap kepimpinan SOCAR dalam sektor perkongsian kereta dan keupayaan kami untuk mengembangkan lagi perniagaan pengguna-kepada-pengguna TREVO ke seluruh rantau ini.

“Kami berasa gembira kerana dapat mengeratkan lagi hubungan dengan SDB susulan kerjasama sedia ada dengan bahagian motornya menerusi peluasan kerjasama strategik kami kepada kerjasama berasaskan kepentingan ekuiti,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pihaknya akan menggunakan dana tersebut bagi memacu usaha mencapai wawasan mobiliti multifleksnya dan membawakan kemudahan perkongsian kereta kepada lebih ramai lagi pengguna di seluruh Asia Tenggara.

Beliau menjelaskan, apabila akses kepada kereta menjadi semudah menekan butang di telefon mudah alih, kedudukan SOCAR dalam ekosistem pengangkutan boleh mengubah cara orang ramai berfikir mengenai bajet mobiliti mereka.

Pelaburan AS$55 juta itu akan disalurkan ke arah penambahbaikan teknologi dan dilaburkan ke dalam usaha meningkatkan lagi keyakinan dan langkah-langkah keselamatan yang dapat membantu meningkatkan keuntungan perniagaan secara keseluruhannya.

SOCAR juga bercadang untuk menggunakan kepakarannya dalam bidang pengurusan flit bagi memperkenalkan mobiliti hijau kepada umum dan memanfaatkan kepakarannya dalam pasaran pengguna-kepada-pengguna bagi memperkasakan lagi komuniti flit dan kereta persendirian di seluruh Asia Tenggara melalui platform TREVO miliknya.

Pelaburan terbabit akan distrukturkan kepada dua bahagian, iaitu dengan 60 peratus pendahuluan dan tambahan 40 peratus akan diberikan kemudian berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui.

Pelaburan EastBridge Partners ke dalam SOCAR Mobility Malaysia selaras dengan teras strategi pelaburan Korea+ yang memanfaatkan rangkaian EastBridge Korea dan Pan-Asia, di mana pelaburan adalah tertumpu kepada syarikat yang mempunyai asas yang kukuh, potensi pertumbuhan dan prospek perkembangan global yang tinggi.

SOCAR pertama kali dilancarkan di Malaysia pada Januari 2018 sebagai sebuah usaha sama antara SK Inc. dengan Socar Inc. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya