Rasuah, kronisme lemahkan dasar bumiputera - Utusan Malaysia

Rasuah, kronisme lemahkan dasar bumiputera

KERAJAAN perlu memastikan peluang perolehan khusus untuk bumiputera diberikan kepada syarikat bumiputera tulen bagi mengelakkan amalan rasuah dan ali baba terus berleluasa dan menggagalkan agenda bumiputera. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berpendapat amalan rasuah, kronisme dan perlindungan politik telah melemahkan semua dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera sehingga tidak banyak perkembangan positif dapat dicapai setelah sekian lama.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, menurut kajian bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, daripada 30 peratus perolehan yang dikhaskan untuk bumiputera, hanya sembilan peratus sahaja yang mendapat manfaatnya.

“Walaupun ada peruntukan untuk bumiputera tetapi yang bukan bumiputera dapat menguasainya sehingga 90 peratus.

“Kebanyakannya, ia berlaku disebabkan oleh amalan rasuah, kronisme serta perlindungan politik yang telah melemahkan semua dasar pemerkasaan bumiputera.

“Oleh itu, kami berharap amalan rasuah tersebut dapat ditangani oleh SPRM sekali gus tidak membenarkan peruntukan bumiputera tiris ke tangan orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, bagi lebih memantapkan agenda bumiputera, DPMM mencadangkan beberapa langkah yang wajar dilaksanakan seperti merangka agenda bumiputera tulen dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Abdul Halim berkata, agenda itu harus dirangka bagi memastikan peluang hanya diberikan kepada bumiputera tulen bermerit dari segi ekuiti (100 peratus bumiputera dan pengurusan bumiputera), pengalaman, kemahiran, keupayaan dan yang mempunyai visi serta perancangan untuk membina ekonomi bumiputera.

“Manakala syarikat yang palsu dan mengamalkan budaya ali baba perlu ditolak. Kementerian Kewangan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan badan-badan berkenaan yang lain dicadangkan untuk bekerjasama dengan DPMM serta beberapa persatuan lain bagi merangka agenda tersebut.

“DPMM juga boleh dipertanggungjawabkan untuk mengesahkan ketulenan syarikat yang terpilih,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan semua syarikat yang menyertai pembidaan dan perolehan tender kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk berdaftar dengan DPMM terlebih dahulu.

Jelas beliau, indeks bumiputera berdasarkan potensi nilai tambah bumiputera juga akan diguna pakai.

Dalam pada itu, Abdul Halim memberitahu, dasar perolehan kerajaan sebanyak 90 peratus dan perolehan GLC sebanyak 50 peratus patut diperuntukkan untuk bumiputera dalam semua sektor seperti barangan, perkhidmatan dan binaan.

“Semua dana-dana yang dibiayai kerajaan juga perlu ada peruntukan 70 peratus kepada bumiputera dan ia harus dipagar ketat oleh bumiputera sahaja.

“Seterusnya, dasar dan operasi Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang tujuan asalnya adalah untuk membantu bumiputera juga perlu dilihat semula,” katanya

Selain itu, beliau turut menyarankan Program Jana Niaga ditambah baik dan dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan peruntukan lebih besar kira-kira RM800 juta berbanding RM300 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN