Projek Tiub London pacu pekerjaan, perniagaan - Utusan Malaysia

Projek Tiub London pacu pekerjaan, perniagaan

PEMBUKAAN projek Tiub London dijangka menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain memacu sektor perniagaan yang terjejas akibat Covid-19. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Projek penyambungan sistem Tiub London bernilai AS$1.5 bilion (RM6.29 bilion) yang dimulakan kirakira enam tahun lalu, dibuka semalam dengan harapan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Pembukaan hentian Stesen Janakuasa Nine Elms dan Battersea di Selatan London itu dijangka dapat mewujudkan ribuan pekerjaan dan memberi manfaat kepada pemaju yang berdepan masalah untuk menjual ratusan pangsapuri yang dibina di kawasan itu.

Ia juga akan meningkatkan akses ke pusat kewangan di pusat bandar dan West End, di mana banyak syarikat ekuiti dan dana lindung nilai berpangkalan.

Lapor Reuters, penyambungan terbabit adalah kunci untuk penjanaan semula Stesen Janakuasa Battersea, yang pernah membekalkan satu per lima elektrik ke London tetapi telah terbengkalai selama beberapa dekad.

“Pengusaha bekas loji jana kuasa arang batu itu menghadapi kelewatan pembinaan dalam beberapa tahun kebelakangan yang menyebabkan ada pembeli menarik diri untuk membeli hartanah di situ.

“Pada Mei, penghuni pertama berpindah ke stesen itu yang merupakan pusat projek bernilai AS$12.33 bilion (RM51.69 bilion) dan akan dibuka untuk umum pada tahun depan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Battersea Power Station Development Co., Simon Murphy berkata, permulaan stesen baharu itu adalah tonggak utama untuk projek berikutnya.

“Meningkatkan hubungan pengangkutan dan sambungan ke London telah menjadi asas kepada pembangunan sejak awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel.

Berdasarkan kenyataan daripada pihak berkuasa pengangkutan, perluasan projek yang menjadikan jumlah stesen kepada 272, membantu menjana sebanyak 25,000 pekerjaan dan mewujudkan 20,000 kediaman.

Ujarnya, perjalanan dari Nine Elms atau Battersea ke West End atau pusat bandar akan memakan masa kurang dari 15 minit.

Katanya, stesen-stesen tersebut akan mula beroperasi semasa aktiviti pembangunan yang lebih luas dijalankan di sepanjang tebing Sungai Thames.

Pembinaan utama di landasan kereta api sepanjang tiga kilometer (km) antara Stesen Janakuasa dan Battersea telah bermula pada 2015. Sambungan terakhir adalah ke Jubilee Line pada 1999. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN