Percepat aktiviti rentas negeri - Utusan Malaysia

Percepat aktiviti rentas negeri

TAMBANG bas ekspres akan mengalami kenaikan antara 10 hingga 20 peratus menjelang Aidilfitri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Percepat rentas aktiviti negeri. Pendapatan mereka bergantung 100 peratus kepada penumpang, jika tiada penumpang, mereka tiada sumber pendapatan.”

Itu gesaan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) kepada kerajaan untuk membolehkan perniagaan ahli-ahlinya kembali beroperasi.

Presidennya, Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerajaan memang tidak menghalang perkhidmatan awam untuk beroperasi kerana ia merupakan perkhidmatan penting.

Bagaimanapun katanya, tiada penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres sepanjang tempoh berkenaan disebabkan larangan pergerakan rentas negeri.

Mohamad Kaharrudin memberitahu, setakat ini persatuan terbabit mempunyai 20 ahli iaitu syarikat yang mengusahakan bas ekspres dan 100 peratus ahli persatuannya mengalami kerugian.

“Kami minta kerajaan untuk melihat semula bantuan apa yang boleh diberikan kepada pengusaha bas ekspres termasuk moratorium, geran dan pinjaman bagi membantu kami memulakan semula perniagaan setelah lama tiada sumber pendapatan,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali mencadangkan pemberian geran khas sekali gus (one-off ) kepada pengusaha
bas ekspres bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Jelasnya, bayaran sepatutnya  dibuat untuk permit-permit bas ekspres yang aktif setakat tarikh 18 Mac 2020 dan mempunyai lesen, cukai jalan dan sijil Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang sah.

“Kos-kos membaik pulih dan pemeriksaan keselamatan tambahan yang ditanggung oleh pengusaha untuk sebuah bas ialah sebanyak RM15,940.00.

“Kami menyarankan 70 peratus daripada kos tersebut, iaitu RM11,158.00 diberikan kepada geran khas untuk sebuah bas.

“Anggaran jumlah bantuan kewangan yang diperlukan adalah lebih kurang RM46 juta. Ia akan memberi banyak manfaat kepada 200 pengendali bas ekspres yang kini mengendalikan sekitar 4,200 bas di Malaysia,” katanya.

Mohamad Ashfar berkata, bas ekspres turut memainkan peranan penting dalam memacu industri pelancongan negara.

Bagaimanapun katanya, nasib pengusaha bas ekspres tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila perniagaan mereka terjejas teruk sepanjang PKP.

“Kerajaan telahpun memberi bantuan kepada syarikat-syarikat bas henti-henti, namun sehingga kini pengusaha bas ekspres masih belum menerima bantuan walaupun beberapa memorandum telah dikemukakan.

“Persatuan mempunyai 120 ahli di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada syarikat bas ekspres dan bas henti-henti. Setakat ini, kira-kira 4,000 bas ekspres masih tidak melakukan perjalanan.

“Kerajaan juga perlu ada dasar pengangkutan yang tetap kerana setiap kali menteri bertukar posisi dasar itu juga akan bertukar sekali gus memberi impak yang besar kepada kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN