MyCraftShoppe perhebat pemasaran produk kraf - Utusan Malaysia

MyCraftShoppe perhebat pemasaran produk kraf

NANCY Shukri melawat pameran dan jualan produk kraf selepas melancarkan MyCraftShoppe di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Mukim Bohor, Langkawi, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Kraftangan Malaysia melancarkan MyCraftShoppe sempena pembukaan semula sektor pelancongan di Pulau Langkawi sebagai projek rintis kepada pelancong tempatan di bawah Program Travel Bubble bermula semalam.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran platform MyCraftShoppe itu dilihat bertepatan dan selari dengan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilancarkan oleh kerajaan pada 19 Februari 2021.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan tersebut, Kraftangan Malaysia telah mewujudkan inisiatif platform digital bermula dengan Facebook Page E-Kraf Bazar dalam usaha memastikan usahawan kraf terus kekal aktif ketika pandemik Covid-19.

Ini kerana, katanya, Kraftangan Malaysia juga perlu mengambil peluang untuk menguasai teknologi bagi meningkatkan kualiti dan taraf hidup usahawan dan pengusaha kraf tempatan.

“Platform e-marketplace MyCraftShoppe penting dalam membantu usahawan dan pengusaha kraf tempatan mempromosi dan memasarkan produk kraf secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran MyCraftShoppe – Platform Membeli-Belah Produk Kraf Tempatan Dalam Talian di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Mukim Bohor di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang.

Pengumuman pembukaan pintu Pulau Langkawi kepada pelancong diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob pada 12 September lalu.

NANCY Shukri menyampaikan sijil Tourism Quality Assurance (MyTOA) pada pelancaran MyCraftShoppe di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Mukim Bohor, Langkawi, semalam.

Nancy memberitahu, MyCraftShoppe juga merupakan satu saluran pemasaran produk kraf dan perkhidmatan secara dalam talian berkonsepkan global reach local identity.

“Menerusi MyCraftShoppe, pengguna ditawarkan dengan kepelbagaian produk yang terdapat dalam rantaian industri kraf yang merangkumi produk, bahan mentah, rekaan produk, perkhidmatan selepas pembelian dan maklumat berkaitan industri kraf negara.

“Kategori produk pula meliputi bidang utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf yang dibahagikan kepada kategori seperti pakaian, aksesori, cenderamata, laman rumah, perkakasan rumah, hobi dan gaya hidup,” ujarnya.

Selain itu, beliau menambah, Kraftangan Malaysia juga menyediakan pelbagai kempen bermusim yang menarik dalam bentuk baucar dan potongan harga untuk dinikmati oleh pembeli di www.mycraftshoppe.com.

“Adalah menjadi harapan, dengan adanya majlis pelancaran MyCraftShoppe ini dapat terus-menerus mempopularkan hasil produk kraf tempatan bagi memenuhi kehendak pasaran dan kunjungan domestik di Pulau Langkawi.

“Selain itu, membeli-belah dalam talian ini mampu menjadi satu keperluan dan kebiasaan masyarakat di masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Nancy berkata, pihaknya percaya platform MyCraftShoppe ini dapat mengembangkan industri kraf dengan hasil produk yang kreatif dan trendy.

Selain itu, jelasnya, MyCraftShoppe dapat membantu menjana pendapatan usahawan kraf serta menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti, kuantiti dan kebolehpasaran produk mereka dengan meluas.

Sementara itu, beliau memberitahu, jualan produk kraf yang dicatatkan dari Januari hingga 31 Ogos lalu ialah RM124.3 juta (62.2% daripada nilai jualan sasaran sebanyak RM200 juta) dengan bilangan usahawan kraf seramai 6,220 orang.  – UTUSAN

INFO
Promosi menarik yang ditawarkan menerusi kempen bermusim:

Promosi MCS Deals
» Bermula 1 hingga 14 September menawarkan potongan sebanyak RM30 untuk pembelian RM100 ke atas.

Promosi Best From The State
» Bermula 1 hingga 30 September 2021 – menawarkan potongan harga sehingga RM20 bagi produk kraf dari empat negeri terpilih iaitu Penang, Kedah, Langkawi, Perlis.

Promosi MCS Crazy Sale Special Selection
» Bermula 1 hingga 30 September 2021 – menawarkan produk songket, tenunan dan tembaga.

Promosi V-HKK Promotion Campaign
» Bermula 15 September hingga 30 September – menawarkan baucar potongan sebanyak RM30 dengan setiap pembelian RM100.

Promosi Malaysia Shopping Week Decorations
» Bermula 16 hingga 23 September 2021 – pemberian baucar sehingga RM30.00 untuk pembelian minimum RM100.

Promosi Pay Days Sale
» Bermula pada 24 September hingga 30 September – potongan baucar RM10 dengan setiap pembelian RM50.

Potongan harga menarik yang kekal berterusan adalah seperti:
» Baucar diskaun bernilai RM20 kepada pembeli yang mendaftar sebagai ahli.
» Perkhidmatan penghantaran secara percuma bernilai RM15 dengan pembelian sekurang-kurangnya RM40
» Setiap pembelian berjumlah minimum gandaan RM100 akan menikmati diskaun sebanyak RM30
» Diskaun ini juga ditawarkan di semua 10 pusat jualan Karyaneka yang merupakan anak syarikat Kraftangan Malaysia dan pembelian produk kraf secara online di www.karyaneka.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.