PETALING JAYA: Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medec) perlu mempraktikkan prosedur permohonan pinjaman yang lebih mudah bagi membantu usahawan terjejas, sesuai dengan keadaan semasa yang dalam proses pemulihan ekoran pandemik Covid-19.
Ini juga bagi memastikan pelbagai program memperkasa usahawan yang diatur menerusi RM7 bilion peruntukan kerajaan kepada kementerian setakat ini sampai kepada golongan sasaran.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dalam keadaan pandemik ini, cara pendekatan untuk rakyat mendapatkan bantuan harus diubah dan bukan mengikut prosedur biasa seperti sebelum pandemik.
Ujarnya, bagi memastikan penyaluran bantuan yang efisien, pihaknya menumpukan golongan yang terkesan akibat Covid-19 termasuk yang kehilangan pekerjaan, usahawan tidak formal, penganggur, asnaf dan usahawan dengan modal sendiri.
“Kita akan permudahkan prosesnya (pinjaman). Jika dahulu perlukan 10 kertas kerja atau syarat, mungkin sekarang dua sahaja mencukupi. Tempoh kelulusan juga perlu dipendekkan contohnya dahulu sebulan, di tengah pandemik ini percepatkan tempoh kepada lima hari.
“Saya juga akan memperjuangkan para usahawan atau pemohon ini tidak perlu melalui semakan laporan CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana sudah sedia maklum dalam keadaan sekarang, mereka pasti terjejas dan perlu bantuan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Program Let’s XCESS 2021 dan Pelancaran Business Export Programme (BEP) anjuran Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank).
Program Let’s XCESS 2021 memberi akses kepada pembiayaan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di enam wilayah seluruh negara bagi memastikan mereka menerima bantuan dan tidak ketinggalan dalam trend pemulihan ekonomi negara.
BEP pula dilancarkan bagi melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan PKS pengeksport Bumiputera melalui peruntukkan dana sebanyak RM30 juta oleh Medac bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2025.
Mengulas mengenai BEP, Noh memaklumkan, nilai dagangan eksport negara bagi separuh pertama melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan menggesa usahawan PKS bumiputera merebut peluang untuk memastikan mereka mampu memperluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
“Dengan geran RM30 juta, sebanyak 150 usahawan PKS negara akan mendapat manfaat dan pihak kementerian juga menetapkan sasaran agar program ini dapat melahirkan sekurang-kurangnya 75 syarikat pengeksport baharu selain keseluruhan peserta mencatatkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM75 juta,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail memaklumkan, peserta BEP akan dibimbing dan diselia berpandukan enam parameter iaitu pengeluaran dan teknikal, kewangan, tenaga kerja, keperluan eksport, pemasaran serta standard dan peraturan.
“Ini bukan hanya membolehkan syarikat, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan memasuki pasaran antarabangsa, tetapi usahawan turut mendapat manfaat daripada latihan keusahawanan yang lebih mendalam agar mampu bertahan dalam arena perniagaan yang lebih besar dan mencabar,” jelasnya. – UTUSAN










