Landskap perubahan strategi pemasaran 4.0 - Utusan Malaysia

Landskap perubahan strategi pemasaran 4.0

PERKEMBANGAN IR 4.0 turut memberi impak kepada kaedah periklanan dan pemasaran masa kini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STRATEGI pemasaran akan sentiasa berkembang dan bakal terus berevolusi mengikut kemajuan teknologi serta pengaruh trend pasaran. Peralihan budaya pasaran yang kita semua lalui hari ini turut memberi kesan kepada sebahagian besar perniagaan kerana strategi yang dipraktikkan sekitar dua atau tiga tahun lalu tidak semestinya masih terpakai secara keseluruhannya lagi. Penambahbaikan perlu sentiasa dilakukan kerana peralihan pasaran kini berkembang dengan sangat pantas.

Atas faktor tersebut, saya terpanggil mengupas secara  ringkas pada artikel ini terhadap perkembangan industri serta pengaruh yang menyum bang kepada perubahan landskap pasaran masa kini. Revolusi pemasaran juga mempunyai fasa peralihan yang panjang, namun ada di antaranya masih terus relevan sehingga ke hari ini. Memahami keberadaan ini setidaknya dapat memberikan gambaran yang jelas dalam membantu memahami kepentingan pasaran bagi membina strategi pemasaran yang  fleksibel serta terus relevan seiring kemajuan teknologi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengaruh pemasaran era modenisasi bermula dengan kebangkitan revolusi perindustrian pertama sekitar 1760an. Ia juga dikenali sebagai era Pemasaran 1.0 yang ketika itu menyaksikan peningkatan drastik dalam teknologi penciptaan dan pembuatan bagi memenuhi keperluan pasaran. Namun, perniagaan ketika itu hanya memfokuskan kualiti dan kuantiti pengeluaran dalam memasarkan produk tanpa mengambilkira persepsi pelanggan secara keseluruhan nya. Penjenamaan pula dianggap sebagai pengenalan hak milik dagangan bagi sesebuah produk. Para pelanggan dan pengguna juga mempunyai pilihan yang terhad di pasaran.

Pada tahap berkembangnya inovasi teknologi dan persaingan industri di era Pemasaran 2.0, strategi pemasaran mula berubah dengan pendekatan yang lebih berteraskan nilai keperibadian dengan menarik emosi pelanggan sebagai strategi memperkukuh penjenamaan dan dominasi pasaran. Strategi pemasaran, periklanan dan promosi turut terdorong  dalam memfokuskan penjenamaan bagi meningkatkan nilai produk pada persepsi pengguna dan untuk melariskan jualan. Namun, ia masih bersifat komunikasi sehala dengan tujuan mempe ngaruhi tindak pelanggan bagi memenangi persaingan dan meningkatkan autoriti dalam sesebuah sektor pasaran yang diceburi. Hampir kesemua strategi hanyalah menjurus kepada kepenti ngan perniagaan dan keuntungan industri.

Hanya pada peralihan era Pemasaran 3.0 yang bermula sekitar tahun 60an, menyaksikan orientasi pelanggan menjadi faktor yang memainkan peranan penting dalam menjamin pengukuhan jenama dan kredibiliti perniagaan serta pasaran. Kemunculan internet telah memakmurkan lagi penyebaran maklumat dan membuka kefahaman industri bahawa  pelanggan adalah aset pasaran paling penting yang mampu berfikir, memilih dan mencipta persepsi yang turut mampu mempengaruhi pola pasaran. Potensi digital bersifat komunikasi dua hala turut memberi pengaruh sangat besar terhadap penguasaan maklumat dalam talian. Organisasi yang terus kompetitif menyedari pentingnya memiliki visi dan misi yang seiring dengan inspirasi serta motivasi pelanggan sebagai landasan untuk berdaya maju.

Kini, kemunculan era Pemasaran 4.0 telah membuka perspektif yang seimbang antara hubungan perniagaan, pelanggan dan prospek pasaran. Kemunculan krisis pandemik juga turut  menyuntik kesedaran yang lebih meluas tentang pentingnya keprihatinan terhadap pemasaran yang berorientasikan motivasi pelanggan. Suara pelanggan menjadi tunggak utama bagi memperkukuh kredibiliti penjenamaan dan perniagaan agar dapat terus bertapak kukuh sebagai pilihan muktamad dalam minda dan hati pengguna.

Secara dasar, Pemasaran 4.0 adalah pendekatan strategi yang mementingkan keprihatinan serta kefahaman terhadap pola pengguna dan memanfaatkan potensi pengkalan data  pelanggan sebagai aset perniagaan yang paling penting. Walaupun kemajuan teknologi semakin berkembang, ia tetap memerlukan kebijaksanaan setiap perniagaan untuk  mengintegrasi kemahiran digital dengan sentuhan manusiawi. Pengukuhan brand loyalty dan orientasi pelanggan adalah asas penting dalam merangka strategi pemasaran untuk terus  berkembang kukuh dalam persaingan pasaran digital kini.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN